Hanya 6 hari di penjara, ‘abang botak’ akhirnya dibebaskan

 

DANIAL Tan Abdullah atau dikenali sebagai ‘abang botak’ yang dihukum penjara 12 bulan kerana memecahkan cermin sebuah kereta menggunakan topi keledar dibebaskan sementara daripada menjalani hukuman tersebut.

Difahamkan, Danial hanya sempat bermalam enam hari di penjara sebelum dia dibebaskan.

Ia berikutan Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan penangguhan perlaksanaan hukuman itu.

Memetik laporan Sinar Harian, pendengaran permohonan itu berlangsung di hadapan Majistret Nur Shahira Abdul Salim, Jumaat lalu.

Mahkamah menetapkan RM6,000 sebagai jaminan dan memerintah Abang Botak atau nama sebenarnya Danial melaporkan diri dua kali setiap bulan di balai polis berdekatan.

Sementara itu, semakan juga mendapati, Danial, 31, turut memfailkan semakan terhadap hukuman penjara 12 bulan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Jun lalu.

Peguam yang mewakili Danial, Nur Rafiuddin Maswari mengesahkan perkara tersebut.

Pada 31 Mei lalu, mahkamah menjatuhi hukuman itu selepas Danial yang bekerja sebagai pembantu stor kilang mengaku bersalah memecahkan cermin hadapan kereta Produa Axia milik Siew Chean Voon, 58.

Keputusan itu menyebabkan dia terpaksa dihantar ke penjara kerana tidak membuat permohonan penangguhan perlaksanaan hukuman.

Terdahulu, tular video di laman sosial mengenai kejadian tersebut dan polis berjaya memberkasnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments