Pengerusi PKR negeri didakwa belasah pegawai penyelidik Anwar

SEORANG Pengerusi Perhubungan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini sedang disiasat selepas didakwa membelasah pegawai penyelidik parti itu pada bulan Ramadan lalu.

Suspek sebelum ini merupakan salah seorang pegawai Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikatakan disiasat atas dakwaan mendatangkan kecederaan ‘parah’.

Mangsa pula adalah seorang penyelidik yang bekerja dengan Anwar, lapor portal MalaysiaGazette.

Suspek dan mangsa dilaporkan telah bertelagah mulut sebelum ia menjadi lebih serius dan bertukar ganas apabila mangsa dikasari dengan teruk.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan mengalami keretakan tulang, selain kecederaan lain.

Susulan kejadian itu, mangsa bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya pada 26 Mei lalu dengan melampirkan laporan perubatan dari sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun, difahamkan, pejabat Anwar dalam satu kenyataan memberitahu, mangsa sudah tidak bekerja dengan Presiden PKR itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, yang dihubungi MalaysiaGazette, mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut kerana kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Sumber yang enggan namanya dikenali memberitahu MalaysiaGazette, beliau juga terkejut dengan insiden berkenaan kerana ia berpunca daripada salah faham kecil yang kemudiannya meleret sehingga tumbuk menumbuk.

“Saya difahamkan mangsa telah dikasari sehingga mendatangkan kecederaan berdarah.

“Mangsa juga terkejut, tidak percaya apa yang telah berlaku kepada dirinya.

“Cerita sebenar kita tidak pasti lagi tapi biar polis sahaja siasat, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments