Hentikan polemik pelantikan Latheefa, hormat keputusan Tun M – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menghentikan polemik dan menerima keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden PKR itu dalam satu kenyataan hari ini juga menggesa supaya Latheefa yang juga bekas ahli jawatankuasa tertinggi parti itu diberi ruang untuk melaksanakan tugas barunya.

Anwar dalam kenyataan itu memahami pelbagai reaksi daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat berhubung pelantikan tersebut.

“Polemik terbuka secara berterusan ini dikhuatiri akan mendorong implikasi negatif terhadap citra dan imej kerajaan PH.

“Saya yakin perdana menteri dan pimpinan PH akan menilai segala pandangan dengan penuh prihatin dan selanjutnya akan menjelaskan kepada kabinet dan Majlis Presiden PH.

“Maka dengan ini saya menggesa semua rakan-rakan menerima keputusan Dr Mahathir dan memberi ruang kepada Latheefa dan SPRM untuk melaksanakan tugas dengan tegas dan berkesan,” katanya lagi.

Kenyataan Anwar itu menyusul ketika beberapa pemimpin PKR termasuk dua ahli parlimen, Tan Yee Kew (Wangsa Maju) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), secara terbuka membantah pelantikan itu.

Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini menggesa rakyat menandatangani petisyen membantah pelantikan Latheefa.

Pelantikan Latheefa mengundang kritikan memandangkan Mahathir membuat keputusan tanpa berbincang dengan kabinet dan melalui parlimen.

Bagaimanapun ada pihak mengatakan ketegasan bekas anggota PKR itu menyebabkan beliau sebagai orang paling sesuai memegang jawatan itu.

Khamis lalu, Anwar berkata Mahathir perlu menjelaskan soal pelantikan itu, antaranya kerana ia tidak menepati janji PH berkenaan pelantikan jawatan-jawatan utama.

Sementara itu, anggota parlimen Port Dickson itu berkata polemik itu secara positif telah memperkukuh komitmen PH untuk memastikan SPRM melaksanakan tugas dengan adil.

“SPRM dituntut bertindak terhadap semua kes rasuah sama ada pentadbiran lama dan baru. Pimpinan PH, NGO dan rakyat pasti akan terus memantau perjalanan dan keberkesanannya,” katanya lagi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments