‘Tak tau itu beruang matahari, saya sangka anjing’- Pia

    BEKAS peserta program realiti ‘Rockanova’, Zarith Sofia Yasin mengakui bahawa dirinya ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas didapati menyimpan seekor beruang matahari secara haram di kondominiumnya.

    Bagaimanapun, artis yang lebih mesra dengan panggilan Pia memberitahu, dia tidak menyangka haiwan itu adalah seekor beruang matahari kerana menyangka ia seekor anjing.

    “Jalan ketika itu gelap jadi saya sangkakan seekor anjing, tak sangka binatang itu adalah anak beruang matahari,” katanya dipetik Harian Metro hari ini.

    Pia menjelaskan, dia tidak mempunyai niat untuk membela anak beruang itu sebaliknya merancang menghantar haiwan dilindungi itu kepada pihak berkuasa selepas keadaan beruang itu sihat.

    “Sebenarnya, saya jumpa anak beruang itu di tepi jalan dalam keadaan lemah pada waktu malam di kawasan Bukit Ampang, Jalan Hulu Langat, bulan lalu.

    “Jadi saya ambil keputusan membawanya pulang dan menjaga sehingga baik sebelum bercadang menghantarnya kepada pihak zoo dalam waktu terdekat.

    “Namun tak sangka ia menjadi tular terlebih dulu. Saya mohon maaf atas apa yang berlaku. Saya tak sangka perkara ini menjadi satu isu besar,” katanya.

    Menurutnya, sepanjang dua minggu menjaga beruang yang dinamakan Bruno itu, haiwan terbabit tidak bertindak agresif.

    Dalam pada itu, Pia menafikan dakwaan bahawa dirinya ditahan PERHILITAN sebaliknya mereka memintanya untuk tidak memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung isu ini.

    “Ini saja yang boleh saya kongsikan. Atas nasihat pihak PERHILITAN, saya diminta untuk tidak memberikan sebarang kenyataan terperinci mengenai anak beruang ini sehingga pihak mereka selesai menjalankan siasatan.

    “Sehingga kini saya masih menunggu keputusan dan maklum balas daripada pihak PERHILITAN mengenai insiden yang berlaku ini,” katanya.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments