Pelantikan Latheefa: PKR terbelah jadi dua kem

PELANTIKAN Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM menyebabkan bekas partinya, PKR kini terbelah dua ekoran terdapat perbezaan pandangan yang amat ketara ekoran pelantikan tersebut.

Walaupun pada peringkat awal, pimpinan parti itu dilihat berhati-hati memberi komentar, namun keadaan itu semakin membahang dengan masing-masing mengecam antara satu sama lain.

Malah, wujud kecenderungan untuk melihat perbezaan itu sebagai perpecahan antara kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pihak yang menyokong menyifatkan perwatakan tegas Latheefa sesuai bagi memikul tugas berkenaan, sementara pihak yang mengkritik mempertikaikan cara pelantikan itu dibuat.

Naib Presiden PKR Tian Chua, dalam kenyataannya menyokong pelantikan Latheefa, menyorot bahawa Latheefa merupakan seorang peguam yang berdedikasi dan pada masa yang sama merupakan pengkritik Anwar.

Sebelum ini, dalam menafikan spekulasi peletakan jawatannya, Tian Chua pernah dilihat kritikal terhadap Anwar apabila mengingatkan kepimpinan PKR agar berhati-hati dalam pemilihan calon pilihan raya.

Pendekatan kritikal Tian Chua dan Latheefa terhadap Anwar membuatkan mereka dilihat sebagai berada dalam kem Mohamed Azmin, lapor portal Malaysiakini.

Sementara itu, laporan itu turut menyebut bahawa pemimpin PKR yang mempertikaikan pelantikan Latheefa adalah Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew.

Kedua-dua mereka, yang menyokong petisyen menggesa peletakan jawatan Latheefa, sering dilihat sebagai penyokong kuat Anwar.

Nik Nazmi menyifatkan pelantikan Latheefa tidak selari dengan janji PH dalam manifesto pilihan raya yang mahu memastikan agar SPRM melapor terus kepada parlimen dan bukannya kepada perdana menteri.

Membalas ciapan Twitter Nik Nazmi tentang perkara itu, Ahli Pemuda PKR Habib Mazlan memuat naik menifesto Nik Nazmi ketika bertanding untuk jawatan dalam Pemuda PKR.

Dalam manifesto itu, Nik Nazmi berjanji untuk mengadakan persidangan bagi pelantikan ketua Pemuda PKR negeri.

Manifesto itu dilihat bercanggah apabila ketua Pemuda PKR mempunyai kuasa untuk melantik ketua Pemuda PKR negeri yang dilihat sesuai.

“Mungkin YB lupa di bawah ini salah satu manifesto YB sewaktu bertanding Ketua AMK Pusat. YB menang, tetapi Ketua AMK negeri tidak dilantik melalui konvensyen.

“Malahan YB dengan sendiri melantik diri sendiri menjadi Ketua AMK Negeri Selangor tanpa persetujuan cabang di dalam Selangor,” katanya.

Kritikan itu diulang ciap oleh Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, pemimpin PKR yang dilihat merupakan orang kanan Mohamed Azmin.

Zuraida juga mengulang ciap dakwaan habib bahawa Pemuda PKR tidak mengadakan mesyuarat biro politik lebih setahun.

“Harap ada pembaikan (di bawah kepimpinan) yang baru,” tambah Zuraida.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments