Beli 16 Toyota Camry untuk Exco, kerajaan PH Perak ‘dibalun’ warganet

KEPUTUSAN kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak berbelanja RM1.744 juta untuk membeli 16 buah kereta Toyota Camry bagi kegunaan exco telah mengundang kritikan meluas di media sosial.

Terdahulu, gambar-gambar kereta Toyota Camry yang berada di pekarangan Bangunan Setiausana Kerajaan Negeri (SUK) tular di media sosial, beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Berdasarkan harga pasaran, kesemua 16 kereta berkenaan dipercayai bernilai RM2.6 juta.

Namun, akhbar berbahasa Cina, China Press memetik kenyataan pemimpin PH Perak bahawa kereta itu hanya dibeli dengan harga RM109,000 iaitu kurang RM90,000 berbanding harga pasaran.

“Kami beli secara borong, jadi ia menjadi lebih murah,” kata Exco belia yang juga ADUN Pasir Pinji dari DAP, Howard Lee dipetik sebagai berkata.

Seorang lagi exco, A. Sivanesan berkata, kereta berkenaan terpaksa dibeli kerana kos menyelenggara kereta yang digunakan sebelum ini agak tinggi.

“Ada masanya kami lambat ke destinasi kerana kereta sedia ada tidak begitu baik,” katanya yang juga ADUN Sungkai dari DAP.

Untuk rekod, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini membeli kereta Proton Perdana yang dijenamakan semula daripada Honda Accord untuk kegunaan exco pada hujung 2014.

Namun, alasan-alasan sedemikian sekadar memarakkan lagi kritikan rakyat di media sosial yang percaya bahawa kenyataan kerajaan tiada duit hanyalah dakyah mainan politik kerajaan.

“Mana mereka (kerajaan) dapat duit? Saya ingatkan kerajaan sudah tiada duit. Itu yang mereka kata kan?,” soal seorang pengguna Facebook, Raymond El yang memberi komen dalam pautan berita yang disiarkan Malaysiakini.

‘Kami undi kamu jadi kerajaan, kami juga boleh turunkan kamu. Ingat tu’

Rata-rata komen warganet turut membangkitkan janji-janji PH untuk mengutamakan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan diri sendiri.

Ada juga yang mempersoalkan apa sudah terjadi dengan Tabung Harapan yang merupakan hasil jerit perih rakyat untuk membantu kerajaan yang kekeringan dana kononnya akibat rasuah kerajaan terdahulu.

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments