Terkulai kaku kebiruan, lagi kes budak maut akibat pengecas telefon

KEJADIAN kanak-kanak maut akibat renjatan dari kabel pengecas telefon bimbit nampaknya semakin serius.

Dalam kejadian terbaru semalam, seorang kanak-kanak berusia empat tahun meninggal dunia selepas memegang wayar pengecas telefon yang tidak dimatikan.

Berita sedih mengenai kejadian yang dipercayai berlaku di Pasir Mas, Kelantan itu dikongsi di laman Facebook oleh ahli keluarga kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Cikna Nana.

Cikna berkata, kejadian dipercayai berlaku hanya beberapa minit selepas mangsa yang dikenali sebagai Aishah baru selesai dimandikan oleh bapanya.

“Selepas mandi, bapanya keluarkan Aishah dari bilik air dan pesan sebentar lagi bapanya akan siapkan (memakai baju). Bapanya kemudian masuk semula ke dalam bilir air untuk mengambil tuala.

“Tapi selang beberapa minit bapanya terndegar bunyi sesuatu benda jatuh. Bila diperiksa, kelihatan anaknya terkulai di atas lantai dengan badan kebiruan,” katanya dalam perkongsian itu.

Cikna memberitahu, bapa mangsa menarik anaknya menggunakan kain untuk melepaskan pegangan tangannya dengan pengecas telefon berkenaan.

Namun, semuanya sudah terlambat apabila mangsa sudah tidak bernyawa.

Menurut Cikna, anak sepupunya itu sememangnya suka bermain dengan telefon bimbit, namun tidak menyangka ia berakhir dengan tragedi.

Kejadian itu katanya, diratapi seluruh ahli keluarga yang masing-masing teruja untuk menyambut ketibaan Aidilfitri beberapa hari lagi.

Dalam pada itu, Cikna mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah mengenai bahaya pengecas telefon yang dibiarkan tidak ditutup.

“Kita tidak nampak bahaya di sekeliling kita, walaupun ia nampak remeh hanya mengenai cas telefon, tapi ia mengundang maut,” ujarnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments