Neymar buat video nafi tuduhan rogol dengan kekerasan

PENYERANG sensasi Brazil Neymar memuat naik video di Instagram semalam bagi menafikan kenyataan seorang wanita yang menuduhnya melakukan jenayah rogol dan serangan seksual di sebuah hotel di Paris, Mei lalu.

Bapanya, Neymar Santos pula mendakwa anaknya menjadi mangsa peras ugut.

Menurut aduan yang difailkan kepada pejabat polis Sao Paolo dan dilaporkan laman web UOL dan GloboEsporte, pemain kelab Paris St Germain itu dituduh ‘menggunakan kekerasan untuk mengadakan hubungan seks dengan mangsa tanpa sebarang kerelaan.’

“Saya dituduh merogol, ia satu tuduhan yang sangat berat tetapi itulah yang berlaku,” kata Neymar menerusi video berdurasi tujuh minit itu.

“Ia mengejutkan saya, ia sesuatu yang teruk dan menyedihkan kerana sesiapa yang mengenali saya tahu saya orang jenis apa dan saya tahu, saya tidak akan melakukan perkara seperti itu.”

Neymar,27, kemudiannya menunjukkan dia berbalas mesej WhatsApp dengan wanita itu, termasuk foto wanita itu tidak berpakaian di atas katil.

Neymar menambah: “Ia adalah saat yang sangat intim tetapi adalah penting untuk mendedahkannya kepada umum untuk membuktikan tiada apa yang berlaku.”

Wanita yang tidak didedahkan identitinya yang tinggal di Brazil didakwa bertemu dengan Neymar menerusi Instagram dan selepas berbalas mesej, pemain bola sepak itu menjemputnya ke Paris pada pertengahan Mei.

Menurut aduan itu, Neymar tiba di hotel itu dalam keadaan ‘mabuk’ dan kedua-duanya berbual dengan mesra.

Namun kemudiannya ‘dia menjadi agresif dan menggunakan kekerasan untuk mengadakan hubungan seks dengan mangsa tanpa kerelaannya,” lapor dokumen itu.

Bapa Neymar yang juga ejennya, menafikan tuduhan itu menerusi wawancara dengan penyiar Brazil Bandeirantes.

“Perkara ini tidak benar, dia tidak pernah melakukan sebarang jenayah,” katanya sambil mendakwa anaknya menjadi mangsa peras ugut.

“Kami mempunyai bukti dan sudah pun menyerahkannya kepada peguam.”

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments