‘Kalau Lan Pet-Pet hanya didenda, kenapa ‘abang botak’ dipenjara?’

SEORANG peguam hari ini tampil menyatakan kesediaan membantu Danial Abdullah yang mengaku bersalah memecahkan cermin sebuah kenderaan kerana menyifatkan hukuman penjara 12 bulan ke atas lelaki itu sebagai tidak adil.

Peguam tersebut, Suzana Norlihan Ujen berkata, beliau mahu membantu Danial atau digelar ‘abang botak’ oleh warganet membuat rayuan supaya lelaki itu hanya dikenakan denda berbanding hukuman penjara yang diputuskan mahkamah.

“Saya nak bantu appeal (merayu) sebab mahu masyarakat tahu bahawa jika Lan Pet-Pet boleh dapat denda RM2,000 kerana pukul pengawal keselamatan, kenapa abang botak tak boleh?

“Bukan nak jadikan dia hero tapi nak tegakkan keadilan yang makin pupus di Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebooknya hari ini.

Suzana membandingkan kes pelawak Lan Pet-Pet atau Mazlan Ahmad yang sebelum ini hanya didenda di mahkamah atas kesalahan membelasah seorang pengawal keselamatan yang juga warga emas pada April lalu.

Danial, 31, dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini selepas mengaku bersalah menghentak cermin sebuah kereta dengan topi keledar di Taman Bukit Serdang Seri Kembangan, 5.30 petang, Selasa lalu.

Ekoran itu Danial terpaksa menyambut Aidilfitri di penjara kerana mahkamah memutuskan hukuman itu bermula pada hari dia ditahan.

Ketika prosiding Danial dengan suaranya tersekat-sekat memberitahu Majistret Nurshahirah bahawa pemandu kereta tersebut cuba melanggarnya dan menunjukkan tanda jari sehingga memaksanya “membuat keputusan bodoh”.

“Puncanya dia (pengadu) hendak melanggar saya dan menghimpit saya… saya berhentikan dia untuk berbicara, namun dia menunjukkan tanda jari dan disebabkan itu saya buat keputusan bodoh,” katanya dengan nada sebak dan meminta maaf atas perbuatannya itu.

Suzana bagaimanapun berkata, beliau akan membantu Danial mengemukakan rayuan memandangkan hukuman tersebut terlalu berat.

Katanya, agak menyedihkan apabila wujud satu trend layanan kepada orang kena tuduh (OKT) agak berbeza mengikut kedudukan seseorang.

“Memalukan. Apabila anda kaya dan anda membunuh seseorang, anda diberi jaminan oleh Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di Malaysia. Tiada tahanan reman untuk anda.

“Apabila anda artis terkenal, anda memukul orang miskin, anda didenda hanya RM2,000 oleh mahkamah.

“Tetapi apabila anda miskin, anda memecahkan kaca cermin seseorang yang menunjukkan tanda jari tengah kepada anda, anda dipenjara 12 bulan oleh mahkamah. Dan kamu membusuk di penjara,” katanya sinis.

Dalam satu lagi hantaran di Facebook, Suzana berkata, sudah ada individu yang bersetuju untuk membayar wang guaman untuk mewakili Danial, namun katanya, beliau tidak perlukan bayaran.

“Kalau ada yang bayar saya, nanti ada yang kata saya nak promote diri, cari makan sebab dah tak ada kes (atau) nak cari client dan macam-macam tuduhan melulu,” ujarnya. – NMP

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments