[Video] Menipu jadi bomoh, dua wanita China dibelasah, dibaling telur

GARA-GARA menipu duit peniaga dengan menyamar sebagai bomoh tolak bala, dua wanita warga China cedera akibat dipukul sekumpulan peniaga serta orang awam di Jalan Jelatang, Taman Megah Ria di Johor Bahru kelmarin.

Video kejadian yang dipercayai berlaku pada 9.51 pagi berdurasi selama tiga minit menunjukkan dua suspek yang diikat tangan dan duduk di jalan raya dibaling telur oleh peniaga di situ serta orang awam tular dalam media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superitenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an kini direman selama tiga hari sehingga esok.

Dua wanita warga China dibelasah sebelum dibaling dengan telur oleh peniaga dan penduduk selepas dipercayai menipu dengan menyamar sebagai bomoh tolak bala di Johor Bahru.

Posted by NMP on Isnin, 27 Mei 2019

Menurutnya, kejadian itu bermula apabila tiga wanita rakyat China yang berada di pasar pagi cuba melarikan diri selepas kehadiran mereka disedari peniaga serta seorang mangsa yang pernah ditipu bertindak cuba menahan suspek untuk diserahkan kepada polis.

“Semasa cuba melarikan diri, dua suspek tanpa pengenalan diri telah terjatuh, mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan badan dipercayai akibat dipukul beberapa orang awam berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek dapat melarikan diri.

“Dua suspek itu telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan dan kini mereka ditahan reman ,” katanya.

Tambahnya, siasatan polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, dua suspek serta rakan yang berjaya melarikan diri telah menawarkan sejenis ubat yang dipercayai boleh menolak bala kepada seorang wanita tempatan berusia 63 tahun pada 27 April lalu 7.30 pagi.

Menurutnya, mengikut laporan, salah seorang suspek telah memegang belakang badan mangsa dan tiba-tiba wanita tempatan itu pening, menyebabkan dia mengikut sahaja arahan suspek iaitu pulang ke rumah untuk mengambil barang kemas serta duit bagi tujuan sembahyang tolak bala.

“Barang kemas dan duit diserahkan kepada suspek sebelum dimasukkan ke dalam satu beg plastik dan diserahkan kepada mangsa. Wanita tempatan itu hanya dibenarkan membuka beg itu selepas 2 minggu kononnya baru mendatangkan kesan sebagai syarat dalam sembahyang tolak bala.

“Selepas dua minggu, mangsa membuka beg plastik dan mendapati barang kemas serta wang tunai tiada di dalamnya yang ada hanyalah dua botol mineral,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang sedar diri ditipu telah menceritakan kejadian itu kepada rakan dan para peniaga di kawasan pasar pagi dan laporan polis hanya dibuat selepas insiden yang berlaku kelmarin.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments