Tam, badak sumbu jantan terakhir Malaysia sudah tiada

TAM, badak sumbu Sumatera jantan terakhir yang ada di Malaysia telah disahkan mati tengahari tadi.

Kematian badak sumbu Sumatera jantan itu disahkan oleh Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA), Datuk Dr Junaidi Payne, lapor Astro Awani.

Menurut Dr Junaidi, Tam yang berusia lebih 35 tahun telah menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Isnin akibat kerosakan buah pinggang dan hati.

“Bedah siasat ke natas Tam akan dijalankan tidak lama lagi. (Buat masa sekarang) kerosakan buah pinggang dan hati tekaan (punca kematian Tam) terbaik kami,” katanya menerusi mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

TAM dipercayai meninggal dunia akibat kerosakan buah pinggang dan hati

Minggu lepas, Astro Awani melaporkan tahap kesihatan Tam merosot selepas haiwan yang berada dalam perhatian pakar di Tabin, Sabah itu dilihat mula hilang selera makan dan kurang bertindak balas sejak April lalu.

Dr Junaidi berkata, Tam lebih banyak menghabiskan masa berehat di bangsalnya, berbanding melakukan rutin harian sebelum ini iaitu berkubang di dalam lumpur.

Untuk rekod, Tam atau nama panjangnya Kertam ditangkap di Ladang Kretam, sebuah kawasan kelapa sawit di Lahad Datu pada Ogos 2008.

Tam suka menghabiskan masanya di dalam lumpur dan makanan harian bagi spesies terancam itu adalah daun hutan segar, manakala makanan kegemarannya adalah pisang.

Kematian Tam menjadikan Malaysia kini hanya memiliki seekor badak sumbu Sumatera betina terakhir yang dikenali sebagai Iman.

Sebelum ini, pelbagai usaha telah dilakukan untuk melakukan proses persenyawaan antara Tam dan Iman, malangnya tidak berjaya kerana masalah usia yang dialami oleh Tam.

Malaysia, terimalah hakikat, satu lagi spesies istimewa sudah sampai ke garisan tamat populasi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments