Suspek utama kes bunuh Siti Kharina didakwa esok – polis

LELAKI warga Nigeria yang menjadi suspek utama kes bunuh ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, akan dituduh di Mahkamah Sepang, esok.

Ketika mengesahkan perkembangan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di mahkamah pada 8.30 pagi.

“Manakala wanita warga Nigeria berusia 35 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan berusia 38 tahun akan dibebaskan dengan Bon Mahkamah.

“Bon akan disempurnakan di Mahkamah Sepang pada tarikh sama,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pada 15 Mei, mayat Siti Khairina ditemui polis dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala selepas pemilik rumah sewa berkenaan melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.

Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dan ditemui mati dibunuh di sebuah unit kondominium di Cyberjaya.

Polis sebelum ini mengesahkan suspek dan Siti Kharina telah menyewa bersama di sebuah unit kondominium Third Avenue di Cyberjaya sejak Januari lalu.

Mereka berdua dikatakan mengenali antara satu sama lain melalui media sosial sebelum suspek datang menemui mangsa di ibu negara buat kali pertama pada Januari lalu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments