Peguam tarik diri cetus tanda tanya, akan tertegakkah keadilan untuk Adib?

TINDAKAN Peguam Syazlin Mansor menarik diri daripada inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pagi tadi sangat mengejutkan.

Beliau tidak menyatakan secara terperinci punca beliau berbuat demikian.

Namun, memetik laporan Malaysiakini yang menghubungi Syazlin, peguam itu berkata, tindakannya adalah kerana “terdapat perkembangan baru.”

Walaupun tak menyatakan secara terperinci, Syazlin dipetik sebagai berkata, perkara itu diputuskannya selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menghubunginya pada Jumaat lalu, dan mereka berjumpa dua hari lalu.

SYAZLIN (kiri) membuat keputusan mengejut tarik diri daripada Inkues menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim

“Saya berjumpa menteri pada hari Sabtu dan kami membincangkan perkara itu.

“Selepas menimbang kebaikan dan keburukan, saya memutuskan untuk menarik diri,” katanya dipetik portal tersebut.

BACA JUGA: Inkues tergendala, peguam bomba tarik diri

Ditanya sama ada beliau diarahkan untuk berbuat demikian, Syazlin berkata: “Ini keputusan saya sendiri.”

Syazlin mengejutkan Mahkamah Koroner pagi ini apabila mengumumkan penarikan dirinya ketika prosiding baru sahaja hendak dimulakan.

Beliau tidak menyatakan alasannya berbuat demikian dan enggan mengulas apabila ditemui pemberita kemudian.

Adib, 24, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari bertarung nyawa.

Dengan penarikan diri Syazlin serta terbatalnya keterangan dari Dr Shahrom, persoalan mula timbul bagaimana keadilan untuk Adib akan tertegak sekiranya tiada seorang pun peguam tampil untuk meneruskan inkues.

Perkembangan itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warganet yang menghidu seolah-olah sesuatu tidak kena sedang berlaku.

BACA JUGA: Arahan ‘pegawai berpengaruh dalam kerajaan’ punca peguam tarik diri?

Ramai yang mengingatkan kerajaan bahawa inkues tersebut diwujudkan akibat desakan rakyat yang mahu supaya kematian Adib diberi pembelaan sewajarnya.

Tindakan menarik diri peguam berkenaan juga akan memberi isyarat bahawa ada usaha untuk membatalkan inkues tersebut. – NMP

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments