Lagi kes pemandu Grab hilang, darah ditemui dalam kereta

INDUSTRI e-hailing sekali lagi dikejutkan dengan kehilangan seorang pemandu Grab di Kota Kinabalu, Sabah awal pagi ini.

Mohammad Hanafie Jaafar kali terakhir dilihat kira-kira pukul 4 pagi semalam sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah.

Lebih membimbangkan, kereta mangsa ditemui dengan terdapat kesan darah di tempat duduk pemandu.

Kereta jenis Proton Saga FLX mangsa ditemui di kawasan letak kereta tapak bazaar Indah Permai, berhampiran dengan pasaraya Giant, Kota Kinabalu.

Susulan kejadian tersebut, satu laporan polis telah dibuat oleh teman wanita mangsa mengenai kehilangannya.

Kes tersebut sekali lagi mencetuskan tanda tanya mengenai tahap keselamatan pemandu kereta e-hailing memandangkan tragedi seumpama ini bukan kali pertama.

Pada Disember tahun lalu, pemandu Grab, Ahmad [email protected] Ahmad Nasib, 54, dijumpai mati oleh anak lelaki mangsa di tempat letak kereta belakang kedai di Lintas Jaya, Kepayan, Kota Kinabalu.

Mangsa turut menggunakan kereta jenis Proton Saga FLX.

Kes sama pernah berlaku pada 24 Jun tahun lalu apabila mayat pemandu Grab ditemui dengan kesan jerutan di dalam kereta Perodua MyVi miliknya di Taman Selayang Makmur, Selayang.

Sementara itu, insiden terbaru berkenaan menjadi bualan hangat netizen yang bersimpati dengan anak-anak muda yang berdepan bahaya ketika mencari rezeki dengan memandu kereta Grab.

Tidak kurang juga yang mencadangkan kerajaan supaya melakukan sesuatu bagi mengelakkan kejadian terus berulang.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments