Inkues Adib: Prosiding tergendala, peguam jabatan bomba tarik diri

SYAZLIN (kiri) membuat keputusan mengejut tarik diri daripada Inkues menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim

PEGUAM Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membuat keputusan mengejutkan apabila menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Syazlin mengumumkan perkara itu di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ketika prosiding baru bermula hari ini, beliau berkata dengan keputusan untuk menarik diri, maka keterangan saksi pakar Dr Shahrom Abdul Wahid turut terbatal.

“Dengan penarikan diri, saya percaya tindakan memanggil semula saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, terbatal,” katanya.

Walau bagaimanapun, Syazlin tidak menyatakan alasan untuk keputusan tarik diri.

Dr Shahrom adalah saksi ke-29, sebelum ini membantah teori dua ahli pakar lain bahawa Adib mati akibat kecederaan jatuh dari kenderaan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).

Sehubungan dengan perkembangan itu, peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Ahmad Taufiq Baharun, memaklumkan kepada Koroner pihaknya tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil.

Katanya, beliau seterusnya menyerahkan perkara itu kepada mahkamah.

Rofiah menangguhkan prosiding seketika tanpa membuat sebarang keputusan.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan pasukan pengendali inkues untuk memanggil semula pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi untuk memberi keterangan.

Permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi ke-24 itu dibuat selepas saksi ke-29, Prof Shahrom memberi keterangan dalam inkues itu.

Pada 17 Mei lalu, keadaan dalam mahkamah tegang apabila Syazlin mengasak Hafizam dengan beberapa soalan.

“Saya bukan berniat mengelirukan mahkamah dan bukannya mahu dimalukan di mahkamah. Saya pun penjawat awam. Tak sepatutnya saya dimalukan dalam inkues,” kata Hafizam.

Ketegangan itu tercetus apabila Hafizam dilaporkan berkata, kesan lebam pada badan mangsa mungkin disebabkan manipulasi pesakit ketika anggota bomba itu dirawat di Institut Jantung Negara.

“Dalam kes ini, mangsa meninggal dunia selepas 21 hari mendapat rawatan. Dalam rawatan, ada pergerakan tertentu dan manipulasi badan pada kiri dan kanan.

“Lebam boleh berlaku semasa rawatan. Hasil bedah siasat, lebam tak padan dengan kesan ditarik.”

Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November 2018.

Beliau meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di IJN.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments