Dibuli gergasi dunia, ini sebab Huawei tak mampu ‘dipulaukan’

KEPUTUSAN Google menyekat syarikat pembuat ­telefon pintar kedua terbesar di dunia, Huawei menggunakan aplikasi miliknya disifatkan hukuman mati terhadap syarikat gergasi teknologi itu.

Keputusan tersebut juga mendedahkan pengguna Huawei kepada isu-isu keselamatan siber malah tindakan itu juga disifatkan sebagai ‘permulaan kepada pengakhiran’ Huawei.

Kata Ketua Pegawai Pegawai Eksekutif (CEO) firma keselamatan siber Edgescan, Eoin Keary, ketidakupayaan pengguna Huawei untuk mengemaskini aplikasi telefon bimbit mereka adalah isu serius kerana lama kelamaan ia akan ketinggalan zaman dan mudah diserang virus.

Pemilik telefon bimbit Huawei dijangka tersekat selamanya dengan versi aplikasi yang ada sekarang dan menghadapi pelbagai masalah keselamatan.

Ini kerana masalah itu yang hanya boleh dikendali melalui pengemaskinian dibuat Google melalui Play Store yang tidak boleh diperoleh oleh peralatan Huawei menyebabkannya terdedah kepada ancaman keselamatan.

Buat sementara waktu ini perkhidmatan Google Play dan perlindungan keselamatan daripada Google Play Protect akan terus berfungsi untuk peralatan Huawei yang sedia ada.

“Namun risiko jangkitan virus secara dramatik akan meningkat terhadap peralatan Huawei dan akan berhenti berfungsi tidak lama lagi. Jika isu keselamatan tiada dan telefon bimbit menjadi tidak selamat adakah orang ramai akan meletakkan hal-hal peribadi dalam telefon?,’’ tanya Keary.

Pengguna yang membeli telefon bimbit terbaharu Huawei tidak akan mempunyai akses kepada Gmail, Google Maps dan aplikasi lain.

Tindakan Google itu dilakukan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif menghalang syarikat AS menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat yang diperbuat atau dikawal oleh firma yang mengancam keselamatan negara selain mengisytiharkan darurat negara terhadap isu tersebut.

Hakikatnya, pertelagahan antara Huawei yang merupakan syarikat penjualan peralatan telekom terbesar di dunia dengan AS telah berlanjutan sejak hampir 10 tahun lalu.

AS dan beberapa negara lain mengesyaki Huawei menggunakan rangkaian 5G jalur lebar miliknya untuk mengintip bagi pihak kerajaan China.


Pada bulan lalu, Times of London melaporkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mempunyai bukti bahawa Huawei `menerima bantuan daripada beberapa cawangan organisasi keselamatan China’.

Maklumat yang diperoleh dikongsi dengan sekutunya, United Kingdom (UK) dalam usaha menekan negara itu agar tidak menggunakan rangkaian 5G Huawei ekoran keputusan Perdana Menteri, Theresa May memilih Huawei sebagai sebahagian daripada rangkaian telefon bimbit terpantas 5G di negaranya.

Pada Mei tahun lalu, Pentagon melarang sebarang penjualan telefon bimbit keluaran Huawei dan ZTE kerana menurut Jabatan Pertahanan, penggunaan telefon berkenaan boleh mengundang risiko keselamatan.

Katanya, peralatan Huawei dan ZTE mendedahkan risiko tidak dijangka terhadap misi, maklumat dan jabatan sumber manusia di Pentagon.

Huawei bersungguh-sungguh menafikan tuduhan mengintip malah bersedia untuk menandatangani perjanjian `tiada pengintip’ dengan kerajaan-kerajaan luar seperti UK untuk meredakan kebimbangan dan membuka lebih banyak peluang perniagaan.

Huawei yang beroperasi di 170 negara dibina pada 1987 oleh bekas jurutera Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), Ren Zhengfei, 74, dan muncul sebagai antara pengeluar peralatan rangkaian terkemuka di dunia selepas Ericsson dari Sweden.

Namun perkhidmatan Zhengfei dalam PLA mencetuskan kebimbangan berikutan hubungan rapatnya dengan kerajaan dan tentera China walaupun dinafikannya.

Walaupun tiada bukti yang ditemukan, antara tuduhan terhadap syarikat itu adalah keupayaan menerobos ke dalam data yang telah dikod sehinggalah melumpuhkan kemudahan komunikasi.

Terdahulu pada Disember lalu, anak perempuan Zhengfei, Meng Wanzhou yang adalah Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei ditahan di Kanada atas arahan AS dan kini menghadapi pertuduhan jenayah di negara berkenaan.

Beliau dituduh menggunakan sebuah syarikat di Hong Kong untuk menjual peralatan kepada Iran sekali gus melanggar sekatan AS namun dinafikan Huawei.

Zhengfei percaya Huawei tak mampu dipulaukan kerana sudah ‘bersedia’ menghadapi apa jua kemungkinan

Dalam pada itu, China boleh bertindak balas dengan menyasarkan syarikat AS yang beroperasi di negaranya seperti Apple yang bergantung kepada pengeluar China dan kemungkinan terpaksa berpindah kepada pembekal lain sekali gus menyaksikan peningkatan harga iPhone.

Intel, Microsoft, Qualcomm Broadcomm dan Micron membekal komponen atau perkhidmatan yang digunakan oleh produk Huawei seperti komputer riba Mate manakala gelas Corning serta pembesar suara Dolby digunakan dalam telefon bimbit Huawei.

Sementara itu, ekoran keputusan sekatan itu yang menimbulkan huru-hara terhadap urus niaga saham di AS, Trump kemudian mengemukakan penangguhan sekatan selama 90 hari terhadap Huawei dengan alasan memberi `ruang bernafas’ bagi mengelak kekacauan lebih besar.

Namun tegasnya, penangguhan itu tidak membawa sebarang perubahan kepada sekatan berkenaan sebaliknya hanya memberi lesen sementara yang membenarkan Huawei meneruskan hubungan perniagaan dengan firma AS yang bergantung kepada peralatan Huawei bagi mengelak perkhidmatan yang kritikal.

Huawei dikatakan lebih setahun terkehadapan berbanding pesaingnya dalam kepakaran teknologi malah Zhengfei menegaskan tindakan Trump tidak akan membantutkan cita-cita syarikatnya.

Katanya, AS memperkecilkan kekuatan Huawei selain menegaskan teknologi 5G tidak akan terjejas sebaliknya pesaing mereka akan ketinggalan tiga tahun ke belakang dalam teknologi tersebut.

Tegas beliau, penangguhan itu tidak akan memberi kesan kepada Huawei malah Google dan syarikat berkenaan telah berbincang bagi mencari jalan keluar terhadap sekatan tersebut.

Menurut Zhengfei, Huawei tidak boleh dipulaukan dari dunia ini malah mereka boleh membuat cip sama seperti yang diperbuat oleh AS.

Sumber: Mingguan 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments