Didakwa selalu curang, lelaki maut ditikam isteri ketika tidur

SEORANG wanita bertindak nekad menikam suaminya dengan pisau kerana tidak tahan dengan sikap lelaki itu yang didakwa sering curang dan menderanya.

Wanita itu menikam suaminya ketika tidur di bilik sewa sebuah bangunan rumah kedai di Bandar Cenderawasih, Sahabat 7, Lahad Datu, Sabah, Jumaat lalu.

Mangsa, Rasalan Jaya, 32, parah di bahagian perut akibat ditusuk pisau oleh suspek berusia 26 tahun dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi.

Difahamkan, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada pukul 5.05 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika kejadian mangsa sedang baring di bilik sewa mereka.

“Suspek mengambil pisau pemotong sayur di dapur dan menikam mangsa di sebelah kanan perut.

“Mangsa mencabut pisau dan lari menuju ke klinik berdekatan manakala suspek sempat membuang pisau itu keluar melalui tingkap,” katanya dipetik portal Sinar Harian.

Menurut Nasri, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu dan berjaya menahan suspek.

Suspek bersembunyi di dalam bilik dan ketika ditahan hanya mendiamkan diri sebelum dibawa ke Balai Polis Cenderawasih, tambah Nasri.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, punca kejadian disebabkan mangsa selalu mendera suspek dan tidak memberikan nafkah kepada anak mereka.

“Pada masa sama, mangsa berlaku curang terhadap suspek sejak 2014, bagaimanapun suspek hanya membiarkan mangsa kerana bimbang rumah tangga mereka retak.

“Bagaimanapun, akibat tidak dapat mengawal emosi, suspek merancang menikam mangsa berkenaan,” katanya.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, selain menahan suspek, pihaknya turut merampas pisau sepanjang 25 sentimeter untuk siasatan lanjut.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments