Bina masjid sendiri, jangan hanya harap bantuan – Dr Mahathir

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya rakyat negara ini membangunkan masjid di kawasan masing-masing tanpa mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak atau pun pihak kerajaan.

Menurut Dr. Mahathir, beliau pernah ke beberapa negara Islam seperti Mahgribi dan Khazakstan yang mempunyai masjid yang sangat cantik dan indah.

Menurutnya, semua itu dilakukan sendiri oleh penduduk tempatan.

“Masjid-masjid yang didirikan, kebanyakannya oleh orang tempatan itu sendiri. Mereka tidak bergantung kepada orang lain, jauh sekali bergantung kepada orang yang seagama dengan mereka.

“Mereka sanggup bertungkus-lumus bukan sahaja mendirikan masjid tetapi juga menghiaskan masjid dengan pelbagai cara, supaya masjid mereka itu adalah antara yang terbaik di dunia,” kata Dr Mahathir.

Perdan Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di perkarangan Masjid An-Najah di Ayer Hitam dekat Jitra, Kedah pada Sabtu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Sementara itu, Astro Awani dalam laporannya mendakwa beberapa hadirin yang ditemubual pada majlis itu rata-rata bersetuju dengan saranan Perdana Menteri itu.

“Orang Islam bangun dengan kudrat sendiri, dengan gaya sendiri, bukan mengharap semua permintaan sumbangan dan sebagainya. Islam sebenarnya mengajar kita untuk berusaha,” kata Timbalan Pengerusi MPN Keadilan Kedah, Dzaher Ahmad.

“Kita kena bangunkan daya saing orang Islam, tunjuk pada masyarakat dunia bahawa orang Islam mampu bina masjid,” katanya ketika ditemui.

Bagi Ketua Publisiti dan Penerangan Pakatan Harapan, Amin Yahya, beliau berpendapat Dr Mahathir sangat prihatin terhadap agama Islam.

“Itulah watak atau wajah sebenar Tun, agama Islam sentiasa dekat di hati. Dengan adanya pengalaman dirinya, dia berkongsi dengan kita,” katanya.

Bagaimanapun, semakan di pautan berita tersebut mendapati warganet tidak bersetuju malah ramai yang melontarkan komen-komen sinis.

“Kerajaan pun kena buat buat keja sendiri jangan harapkan cukai daripada rakyat. Cari pendapatan sendiri.,” komen pengikut laman Facebook Astro Awani, Rus Nah.

Syed Razi dalam komennya menarik perhatian senario di Kelantan apabila banyak masjid dibina hasil derma rakyat kerana kesukaran mendapat peruntukan pada zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri dahulu.

Zamrul Hisham pula melontarkan komen: “Sekolah persendirian Cina sibuk diberi peruntukan, masjid pula disuruh bina sendiri.”

“Sebelum PRU menangis nak selamatkan Malaysia konon-kononnya. Dah menang bongkak,” komen Ahmad Affendi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments