Tragedi Kuala Nerus: Nurul Nadirah belum tahu ibu, ayahnya sudah tiada

NURUL Nadirah Anuar, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas ngeri membabtikan dua kenderaaan di Kampung Sungai Ikan dekat Kuala Nerus pagi tadi belum mengetahui kedua ibu bapanya terbunuh dalam kejadian itu.

Remaja berusia 14 tahun itu ada bertanya mengenai kemalangan, namun ahli keluarga belum bersedia memaklumkan bahawa ibu bapanya, [email protected] Kasliza Che Husin, 53, dan nuar Said, 59, sudah tiada.

Sepupu Anuar, Hufaizal Hussin, 37, memberitahu, Nurul Nadirah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Saya dan ahli keluarga lain tidak sanggup menceritakan keadaan sebenar mengenangkan keadaannya sedang menanggung kesakitan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi tadi, empat terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus.

Kereta Peugeot yang dipandu Anuar bertembung dengan sebuah Proton Wira Aeroback dinaiki pasangan suami isteri, Mohd Ibrahim, 29, Siti Nur Shahila Asla, 26, yang keduanya turut terbunuh.

Nurul Nadirah, 14, yang terselamat hanya cedera di muka dan kaki.

Hufaizal berkata, ketika Nurul Nadirah bertanya, dia dan keluarga hanya memintanya makan ubat dan berehat memandangkan keadaan kecederaannya agak teruk.

“Saya hanya minta dia makan ubat dan cepat sihat kerana keadaannya agak teruk dengan kecederaan di muka dan patah peha kanan serta kiri.

“Saya hanya minta dia tidak terlalu memikirkan keadaan ibu bapanya kerana bimbang akan memberi kesan kepada kesihatannya,” katanya.

Hufaizal berkata, dia bergegas ke HSNZ dari Jertih selepas dimaklumkan kejadian menimpa tiga beranak itu.

“Sebelum ini, saya tahu ada kemalangan di kawasan itu melalui Facebook namun tidak sangka ia membabitkan ahli keluarga sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia sempat berjumpa anak saudaranya itu yang mesra dipanggil adik di wad.

Hufaizal berkata, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Dungun ke Besut menziarahi sepupunya yang meninggal dunia malam tadi.

“Semalam arwah Anuar ada menghubungi saya jam 1.08 pagi, mungkin untuk memaklumkan kematian sepupu tetapi saya tidak menjawab panggilan itu kerana tidur sehinggalah terlihat berita kemalangan di Facebook,” katanya.

Dia berkata, pasangan itu mempunyai tiga anak berusia antara 14 hingga 21 tahun.

Jenazah pasangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Jeti, Dungun.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments