Selepas digelar biadab, Mukhriz mohon maaf kepada Sultan Johor

MENTERI Besar Kedah Mukhriz Mahathir hari ini memohon maaf kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana tidak bersalam dengan baginda, semalam.

Difahamkan, Mukhriz telah menghantar surat permohonan maaf kepada istana Johor hari ini, ketika video beliau enggan bersalam dengan Sultan Ibrahim sedang tular di media sosial.

Setiausaha akhbar Mukhriz dalam kenyataan memaklumkan permohonan maaf itu disampaikan menerusi surat yang diutuskan kepada Sultan Ibrahim hari ini.

“Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir hari ini telah mengutus surat kepada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

“(Ia) bagi memohon ampun dan maaf di atas kekhilafan beliau tidak bersalaman dengan baginda di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang semalam.

“Menteri besar telah menyembah maklum kepada baginda bahawa kekhilafan tersebut adalah kerana kealpaannya sendiri, dan tidak menggambarkan sifat sopan santun rakyat Kedah Darul Aman,” kata kenyataan itu.

Insiden berlaku ketika Mukhriz hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar semalam.

Politik pun politik juga. Tapi kenapalah sampai hilang adab dan rasa hormat. 😌

Posted by Gerak Perak on Khamis, 23 Mei 2019

Dalam rakaman itu, Mukhriz dilihat menghampiri satu barisan terdiri orang kenamaan dan bersalam dengan mereka kecuali dengan Sultan Ibrahim dan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Rakaman videonya insiden itu dimuat naik akaun Twitter Friends of Johor dan dikongsi Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail.

Tindakan itu mengundang kecaman pelbagai pihak sama ada penyokong kerajaan atau pun pembangkang kerana dianggap tidak beradab.

Menyifatkan tindakan itu sebagai kebudak-budakan, Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah menuntut Mukhriz yang juga anak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada Sultan Ibrahim.

Mahathir dan kerabat diraja Johor sebelum ini bertikam lidah antaranya dalam isu Statut Rom, pelantikan menteri besar serta rombakan exco kerajaan negeri itu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments