Individu hina nabi Muhammad jadi buruan polis

SEORANG pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Sueman Minmut kini menjadi buruan polis ekoran tindakannya memuatnaik hantaran menghina Islam dan Nabi Muhammad di laman sosial tersebut.

Polis mengesahkan sudah menerima laporan berhubung penghinaan yang dilakukan individu terbabit, malah difahamkan, individu mencabar pihak berkuasa untuk datang menangkapnya.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad yang dipetik Harian Metro mengesahkan laporan berkenaan.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

“Menerusi Seksyen 289A KK, pemilik akaun Facebook itu dengan sengaja menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci-membenci dengan niat jahat atau memudaratkan perpaduan serta keadaan harmoni di negara ini.

“Menerusi Seksyen 233 AKMM 1998 pula, ia disiasat kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian media sosial,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tinjauan New Malaysian Post mendapati, individu tersebut memuatnaik beberapa hantaran yang terang-terang menghina Nabi Muhammad, malah bertindak semakin berani walaupun dikecam warganet.

Antaranya, satu hantaran dimuatnaik pada 7.37 malam, Ahad lalu sehingga mendapat lebih 800 perkongsian dan lebih 1,300 komen yang menghamburkan kecaman terhadapnya.

Bagaimanapun, beberapa komen individu tersebut termasuk mencabar pihak berkuasa sudah dipadam.

Individu terbabit bukan sahaja membuka ruangan komen secara publik, malah mencabar pihak berkuasa untuk datang menangkapnya.

Ada kalangan warganet yang mempersoalkan tindakan perlahan pihak berkuasa menahan individu tersebut yang dikatakan sudah keterlaluan dan mencabar sensitiviti umat Islam.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments