Nelissa ‘mengamuk’ lagi, dedah bukti whatsapp suami curang

    MUNGKIN geram pendedahannya mengenai kecurangan suaminya, Ammar Alfian sebelum ini dinafikan begitu sahaja, Nelissa Nezam sekali lagi tampil mempertahankan dakwaannya.

    Krisis rumah tangga dua selebriti itu semakin buruk apabila Nelissa lebih berani dengan mendedahkan perbualan menerusi aplikasi Whatsapp antara mereka suami isteri.

    Nelissa melepaskan geram di di Instastory dengan mendakwa suaminya itu memutar belit permohonan maaf yang dibuat sebelum ini.

    “Ingatkan ini gurauan? Saya tidak akan duduk dan berdiam diri ketika si penipu, curang ini memanipulasi dan memberi gambaran seolah-olah saya pula yang menipu.

    “Kamu fikir saya ada masa untuk menuduh suami sendiri berlaku curang ketika saya sedang hamil? Orang bukan bodoh tidak mampu menilai kamu yang mempunyai rekod lampau.

    Saya tidak terkejut sekalipun dia sudah memperbodohkan saya selama tiga tahun,” katanya.

    Ammar sebelum ini menafikan dakwaan Nelissa dan mendakwa isterinya itu sudah meminta maaf kerana mendedahkan perkara yang tidak benar.

    Selain itu, Ammar menjelaskan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya juga adalah fitnah.

    Berang dengan tindakan suaminya itu, Nelissa turut memuat beberapa paparan skrin Whatsapp yang menunjukkan Ammar mengakui meniduri wanita berkenaan dan memohon maaf terhadap isterinya itu.

    Dalam pada itu, Nelissa berkata, suaminya itu sendiri telah mengakui pernah meniduri wanita berkenaan ketika sedang sarat mengahamilkan anaknya.

    Malah dia turut menyifatkan aktor filem Paskal itu sebagai seorang pengecut.

    “Jangan pernah sesekali pun fikir saya mengambil ringan dengan menuduh dia telah berlaku curang jika saya tidak pasti bahawa ia adalah benar.

    “Lagipun dia sendiri sudah mengaku kepada saya.

    “Pengecut ini takut kerana penipuannya selama ini berbalik padanya. Jangan berpura-pura menjadi mangsa,” katanya.

    Selain itu, Nelissa menegaskan kenyataan yang dibuat sebelum ini adalah benar dan bukannya fitnah yang dilempar terhadap suaminya.

    “Apa yang telah saya nyatakan bukan fitnah! Jangan sesekali putar belit permohonan maaf saya dan buat saya kelihatan seperti penipu.

    “Sebelum ini saya meminta maaf kerana bersikap secara tidak rasional kerana mengutamakan anak kita dan berasa kasihan terhadap kamu.

    “Saya tak perlukan kamu untuk memaafkan saya. Seharusnya kamu yang bimbang untuk mendapatkan kemaafan kerana ini melibatkan kehidupan dan masa depan saya,” katanya.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments