Elak terus ‘terikat’, PH perlu gugurkan janji tidak sesuai dalam manifesto

SEORANG Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan supaya Pakatan Harapan meminda atau menggugurkan janji-janji “tidak sesuai” yang terdapat di dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Datuk A. Kadir Jasin berkata, perkara itu perlu dilakukan supaya kepimpinan kerajaan tidak lagi terikat dengan janji-janji manifesto yang didapati tidak praktikal.

“Lagipun, janji-janji itu kita (PH) rangka ketika kita sebagai pembangkang di mana banyak maklumat adalah tidak lengkap atau tidak tepat.

“Sekarang kita tahu keadaan sebenar yang nyata lebih buruk daripada yang kita jangkakan maka kita berhak dan wajib membuat penyesuaian,” katanya dalam catatan di blog beliau, kadirjasin.blogspot.com, di sini semalam.

Kepimpinan PH yang mencipta sejarah menamatkan penguasaan lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu kini terus dibayangi kemarahan rakyat ekoran janji-janji yang tidak ditunaikan.

Antaranya janji untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan bayaran tol dan menurunkan harga barang.

Jawapan pemimpin PH yang sering menjadikan ‘hutang 1 trilion’ sebagai alasan tidak mengotakan janji-janji itu mendapat respon lebih keras daripada pelbagai pihak terutamanya rakyat yang terus terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

A. Kadir dalam catatan itu berkata, pimpinan tertinggi PH perlu menggesa mana-mana anggota Kabinet atau kerajaan negeri yang dilantik tetapi masih ‘merangkak’ dalam menunaikan tanggungjawab supaya memikirkan semula kedudukan mereka.

“Jika mereka berasa perlu, mengundurkan diri secara sukarela supaya orang lain boleh dilantik menggantikan mereka.

“Saya rasa masa setahun sudah cukup lama. Mungkin tidak kepada penjawat awam tetapi bagi rakyat jelata yang menaruh harapan, ia mungkin macam selama-lamanya,” katanya.

Tambah Ketua Media dan Komunikasi bagi Jawatankuasa Peralihan Majlis Penasihat Kerajaan itu, jumlah 50 peratus yang diberikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap prestasi menteri PH dilihat sebagai markah purata.

“Ada yang bawah 50 dan ada yang atas 50. Yang bawah daripada 50 itu bolehlah dijadikan sasaran untuk diganti,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments