2 anggota cedera MPV polis terbabas kejar kenderaan lari sekatan

KEADAAN kereta MPV polis dan kereta kancil yang terjatuh ke dalam longkang di Putra Perdana, Subang Jaya, semalam.

DUA anggota cedera apabila kereta peronda polis (MPV) dinaiki terbabas sebelum jatuh ke dalam longkang ketika mengejar sebuah kenderaan yang melarikan diri dari sekatan jalan raya di Putra Perdana, Subang Jaya, semalam.

Kejadian melibatkan kereta MPV model Proton Inspira yang dinaiki dua anggota terbabit berlaku kira-kira pukul 2 pagi.

Difahamkan, ketika mengejar kenderaan itu, MPV dipandu oleh dua anggota terbabit terbabas sebelum melanggar kereta Perodua Kancil di bahu jalan berkenaan.

Kejadian menyebabkan dua kenderaan terbabit terjunam ke dalam longkang besar di tepi jalan.

Ekoran kejadian itu, anggota terbabit menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Sepang memaklumkan mengenai kejadian untuk mendapatkan bantuan, pada 2.28 pagi.

Kedua anggota yang cedera dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan.

Kejadian menyebabkan kenderaan yang melepasi sekatan polis itu melarikan diri dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti serta mengesan individu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan kemalangan membabitkan dua anggotanya.

“Dua anggota berusia 30-an terbabit cedera, seorang terseliuh di bahu dan seorang lagi patah tangan. Mereka kini sedang menerima rawatan.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan berhubung kejadian sedang dilakukan dan pihak polis juga giat mengesan suspek melarikan diri daripada sekatan jalan raya terbabit,” katanya.

Kejadian turut tular selepas gambar MPV dan Perodua Kancil terbabit menjunam dalam longkang terbabit tersebar di media sosial, hari ini.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments