Tidak sempat baling mercun, pelajar putus lima jari

SEORANG pelajar lelaki Tingkatan 1 sebuah sekolah menengah di Alor Lintang putus lima jari manakala telapak tangan hancur akibat bermain mercun di Kampung Kubang Ikan di Kampung Raja, Besut, Terengganu petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Syafiq Haikal Shaharrudin, 13, dikatakan tidak sempat membaling mercun bola yang sudah dinyalakan menyebabkan ia meletup di tangan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ibu mangsa, Zainab Mohd, 40, menyedari kejadian itu selepas didatangi sepupunya memberitahu Syafiq Haikal cedera terkena mercun.

Menurutnya, sebelum itu dia yang berada dalam rumah terdengar bungi letupan dan jeritan dari luar rumah.

“Ibu mangsa kemudian keluar rumah dan dapati anaknya mengalami kecederaan parah di bahagian pergelangan tangan kanan dengan semua jari dan telapak tangan hancur,” katanya.

Mohd Zamri berkata, wanita itu kemudian membawa anaknya ke Unit Kecemasan Hospital Besut namun mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, mangsa berada dalam keadaan sedar dan stabil dan ini merupakan kes pertama di daerah ini.

Sementara itu ibu mangsa, Zainab Mohd, 40, berkata sewaktu kejadian dia terdengar bunyi letupan dan jeritan dari luar rumah.

“Kemudian seorang sepupu memberitahu Syafiq terkena mercun dan saya segera keluar rumah untuk melihat keadaannya.

“Saya dapati jari Syafiq di tangan sebelah kanan putus dan segera membawanya ke Hospital Besut untuk dapatkan rawatan kecemasan, ” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments