PTPTN: Kalau rakyat tolak, saya bersama mereka – Anwar Ibrahim

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau akan bersama rakyat jika mereka menolak cadangan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan semula larangan keluar negara terhadap peminjam yang ingkar.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau secara peribadi, cadangan tersebut ‘agak keras’ meskipun ia bertujuan untuk membantu kerajaan mengutip semula hutang daripada peminjam.

“Mereka (pelajar) pinjam tetapi tidak ada kerja. Hendak tekan lagi sebab apa?” katanya kepada pemberita pada satu program berbuka puasa malam tadi.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, perbadanan itu akan mengemukakan cadangan kepada jemaah menteri untuk memperkenalkan semula larangan keluar negara terhadap peminjam ingkar, jika rakyat mahu.

Beliau berkata larangan tersebut satu daripada cara berkesan untuk peminjam ingkar membayar balik pinjaman mereka.

Dalam sidang media itu, Anwar bagaimanapun tidak mengulas mengenai cadangan baru PTPTN untuk mewujudkan sekatan-sekatan baru terhadap peminjam ingkar termasuk melarang mereka memperbaharui cukan jalan dan lesen kenderaan.

Anwar bagaimanapun berharap rakyat memberi pandangan positif dan menggesa kerajaan memberikan kelonggaran kepada peminjam.

“Supaya keputusan tidak dirasa menekan peminjam,” tambahnya.

Isu pinjaman PTPTN adalah antara yang membelenggu kepimpinan kerajaan apabila janji Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan semua pinjaman pelajaran itu sekiranya menang pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, Wan Saiful sebelum ini dilaporkan berkata, janji itu tidak mungkin dapat dilaksakan kerana memerlukan hambatan kewangan kepada agensi berkenaan.

Ditanya tentang keperluan mewujudkan suatu suruhanjaya kebenaran dan rekonsiliasi tentang tragedi 13 Mei 1969, Anwar menyerahkan perkara berkenaan kepada golongan pengkaji sejarah.

“Saya pula ambil pendirian hendak lihat ke hadapan. Mengenai ancaman sekarang ini, sudah ada naratif baru tentang kaum-kaum,” katanya.

Beliau mengingatkan sifat perkauman bukan masalah dalam kalangan orang Melayu sahaja.

Tambah beliau lagi, terserah kepada kerajaan sama ada perlu membentuk agensi bagi menilai semula tragedi itu.

“Islam di Malaysia ini tidak boleh lari dari kenyataan untuk terus bersangka baik, dan memupuk semangat kekeluargaan antara kaum.”

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments