Polis temui rangka manusia, dipercayai wanita mati tiga bulan lalu

POLIS menemukan rangka seorang wanita yang dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga bulan lalu di sebuah rumah di tingkat 15 Blok A Flat Larkin di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa, Tey Kok Eng, 73, ditemukan pada 1 pagi oleh beberapa penduduk yang mendapati pintu rumah didiami mangsa dalam keadaan terbuka.

Menurut beliau, laporan berhubung penemuan itu dibuat Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Pangsa Larkin, Azmi Abdullah pada 11.20 malam.

Rumah mangsa terletak di bahagian hujung sekali dan tiada jiran di kiri, kanan serta hadapan.

“Mangsa yang tinggal berseorangan itu ditemukan dalam keadaan terbaring di atas lantai bilik dan berselimut, disahkan pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah telah meninggal dunia antara dua atau tiga bulan lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pemeriksaan ke atas mayat itu juga mendapati tiada unsur jenayah ditemukan.

Tambahnya, hasil bedah siasat dijalankan pada Selasa mendapati, punca kematian adalah disebabkan “Unascertained (Skeletonized)”.

“Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan waris mangsa,” katanya kes itu diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments