Pemimpin DAP persoal sistem kuota, ketidakseimbangan kaum sektor awam

PEMIMPIN DAP, P. Ramasamy membidas kerajaan menegakkan hujah sistem kuota matrikulasi untuk mengatasi ketidakseimbangan kaum dalam pasaran kerja sedangkan kelompok Bumiputera masih menjadi majoriti di pejabat-pejabat kerajaan.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mengaitkan sistem kuota dengan keadaan pasaran kerja yang tidak seimbang adalah sangat mengejutkan.

Kenyataan Maszlee itu tegas beliau menunjukkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu “terperangkap mengikut garis perkauman.”

“Dia berkata selagi sektor swasta, dengan kata lain, majikan Cina terus mengambil pekerja berdasarkan pengetahuan dalam bahasa Mandarin, maka kerajaan akan mengekalkan kuota matrikulasi sekarang.

“Pertama, saya terkejut apabila seorang menteri pendidikan masih terperangkap dengan pemikiran mengikut garis perkauman.

“Apakah perbezaan beliau dengan ahli politik Umno?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Maszlee berkata keadilan bukan hanya dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.

Bercakap kepada penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dalam satu sesi soal jawab, beliau memberikan contoh keperluan untuk berbahasa Mandarin sebagai kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan.

Maszlee menjawab soalan seorang siswa mengenai kemungkinan melonggarkan sistem kuota bagi kemasukan ke program matrikulasi praunivesiti.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, isu berkaitan pengambilan pekerja Bumiputera dalam sektor swasta hendaklah dibawa kepada Kabinet bagi mencari penyelesaiannya.

Ramasamy berkata, sekiranya logik yang sama digunakan, Maszlee perlu melihat ketidakseimbangan kaum dalam perkhidmatan awam yang menyaksikan kelompok Bumiputera merupakan majoriti di pejabat kerajaan.

Beliau berkata, kajian terbaru menunjukkan rakyat berketurunan India berdepan diskriminasi paling tinggi dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.

Ramasamy mempersoalkan motif menteri berkenaan menimbulkan isu tersebut, selain bertanya sama ada beliau mahu “meraih mata politik dalam kalangan khalayak yang majoritinya orang Melayu”.

“Selepas Pakatan Harapan (PH) menang, sebilangan kita berfikir bahawa dasar perkauman dalam bidang pendidikan dan bidang lain akan kita tinggalkan di belakang.

“Tetapi hari ini, nampaknya sesetengah menteri kita seperti Maszlee tidak berbeza daripada ahli politik era Barisan Nasional (BN) yang menggunakan kaum dan agama untuk menjamin kelangsungan politik mereka,” tegasnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments