Kes bunuh jururawat: Lelaki Nigeria direman 7 hari

Lelaki Nigeria berusia 30-an ini dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini untuk permohonan perintah remah. (Gambar Bernama)

LELAKI warga Nigeria yang ditahan polis semalam direman 7 hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang ditemui mati di sebuah kondominium di Cyberjaya Rabu lalu.

Majistret A Akhiruddin @ Boy Acho mengeluarkan perintah reman itu selepas mendengar permohonan polis di Mahkamah Majistret Sepang hari ini.

Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Warga Nigeria berumur 30-an itu ditahan polis di tingkat bawah Cheras Sentral, Kuala Lumpur, semalam.

Dia ditahan susulan tangkapan ke atas seorang wanita Nigeria dan seorang lelaki warga Pakistan semalam di Cheras serta Setapak, di mana kedua-duanya direman 7 hari bermula semalam berhubung kes sama.

Siti Kharina, 40, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dan misteri kehilangannya terungkai apabila mayatnya ditemui pemilik kondominium yang disewanya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

Mangsa meninggalkan suaminya, seorang anak perempuan berusia 14 tahun dan sepasang kembar berusia 10 tahun.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments