Gangguan seksual: MP PKR, pembantu buat laporan polis sesama sendiri

AHLI Parlimen Sungai Siput yang juga pemimpin PKR Perak, S. Kesavan dan bekas pembantunya masing-masing membuat laporan polis ke atas satu sama lain berhubung dakwaan gangguan seksual.

Wanita berkenaan yang juga bekas bendahari cabang PKR Sungai Siput membuat laporan polis mendakwa sering menerima gangguan seksual daripada Kesavan.

Kesavan pula mendakwa membuat laporan polis kerana mendakwa “trauma dan menghadapi gangguan jiwa” kerana wanita tersebut.

Berdasarkan satu gambar tular di aplikasi whatsapp dipercayai salinan laporan polis yang dibuat wanita berkenaan, ia dibuat pada 16 Mei lalu.

Wanita itu mendakwa, dia menerima gangguan seksual setelah bekerja dengan ahli parlimen itu selepas pilihan raya umum ke-14 pada tahun 2008.

Katanya, masalah atau gangguan seksual kemudian mula menjadi-jadi sehingga suaminya menasihatkannya supaya meletakkan jawatan dan membuat laporan polis.

“Mulai 2018 sehingga pertengahan April 2019, YB Kesavan mula berubah di mana beliau sudah memanggilnya sebagai ‘Ammu’ ketika berkomunikasi di telefon.

“Tingkah lakunya bertambah buruk apabila sering menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp dengan panggilan ‘I love you’,” kata wanita tersebut.

Dalam laporan ahli parlimen itu yang bertarikh 4 Mei lalu, dia mendakwa bahawa wanita berkenaan membuat banyak panggilan telefon kepadanya sehingga dirinya mengalami trauma dan gangguan jiwa.

“Saya tidak dapat tahan dengan wanita tersebut yang menganggu saya sehingga mengalami trauma dan gangguan jiwa,” kata ahli parlimen itu.

Wakil rakyat PKR itu walau bagaimanapun, tidak memperincikan mengenai trauma dan gangguan jiwa berkenaan daripada wanita yang sudah bersuami itu.

Bagaimanapun pada akhir tahun lalu, selepas mengadu kepada suaminya berkenaan tindakan ahli parlimen tersebut dan juga meletak jawatannya sebagai bendahari cabang, kedua-dua pihak bersetuju untuk bersemuka dan menyelesaikan masalah berkenaan.

“Dia berjumpa saya dengan suami saya sambil memohon maaf dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan sedemikian.

“Namun, ini tidak berakhir tetapi saya terus menerima mesej dan gambar-gambar lucah.

“Malah, dia buat pula panggilan video dan menunjukkan buku ‘kamasutra’,” kata wanita itu merujuk buku kuno India yang menceritakan mengenai seksualiti dan erotika.

Sementara itu, wanita tersebut turut membuat satu laporan polis terhadap seorang ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC yang didakwa bersuhabat dengan ahli parlimen tersebut.

Dalam pada itu, laporan portal berita Malaysiakini memetik kenytaaan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha yang mahu pihak polis menjalakan siasatan dengan segera.

“Siasatan perlu dijalankan ke atas laporan polis yang dibuat oleh pengadu. Hasil siasatan perlu diambil tindakan,” tegasnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments