Bibit-bibit tunjuk kekayaan, kemewahan mula kelihatan dalam PH – Anwar

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui sudah kelihatan bibit-bibit sikap mempamerkan kemewahan dan kekayaan melampau dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Walaupun tidak menjelaskan secara spesifik, kenyataan Anwar itu menyusul ketika gambar-gambar majlis mewah anjuran PH termasuk program berbuka puasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia PPBM tular di media sosial sehingga mengundang kritikan umum.

GAMBAR program berbuka puasa anjuran PPBM yang tular di media sosial sehingga mengundang teguran dan kritikan umum.

Anwar bagaimanapun berkata, pemerhatiannya itu bukan sekadar merujuk kepada parti komponen PH semata-mata, tetapi memberi teguran juga kepada partinya.

Tegasnya, sebelum ‘penyakit’ itu menjadi semakin parah adalah menjadi tanggungjawab masyarakat dan semua pihak untuk menegur perbuatan tersebut.

“Baik sahabat dalam parti dan majlis kena tegur kerana orang yang berkuasa itu dengan sekelip mata, kadang-kadang limpahan kekayaan menonjol sekali.

“Bukan sahaja dalam Barisan Nasional (BN), tapi dalam Pakatan Harapan (PH) nampak bibit sedemikian. Baru lagi pegang jawatan, nampaknya luar biasa cara hidup dan perbelanjaan,” katanya ketika berucap di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Alumni Kolej Dar al-Hikmah (KDH).

Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, keadaan itu mungkin akan timbul kritikan sinis yang mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berani mengambil tindakan terhadap pemimpin yang berkuasa.

Kata beliau, sokongan semua pihak kepada kerajaan PH haruslah bersyarat, tidak boleh sama seperti sokongan kepada BN dan UMNO.

Jelasnya, idealisme yang ingin diterapkan kepada penyokong PKR dan PH adalah tiada tolak ansur dengan rasuah dan kekayaan dalam keluarga.

“Ini berlaku dalam pimpinan PH. Peringatan saya supaya masyarakat madani agar tidak sesekali meremehkan dengan tanggapan dia sahabat kita, dia pemimpin kita, kalau dia kaya melimpah tidak apa, ini kabilah assabiyah yang patut ditinggalkan,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments