Aidilfitri: Harga barang naik tapi tidak mendadak, menteri puas hati

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution berkata, walaupun ada aduan kenaikan harga barang yang diterima kementeriannya setiap hari, namun ia tidak berlaku secara mendadak.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya berpuas hati dengan trend semasa harga barang keperluan terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Setakat ini, kita tidak menerima kenaikan barangan keperluan secara mendadak, lagipun tempoh bermula Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) akan bermula 21 Mei ini selama 30 hari.

“Setakat ini, sebelum menjelang 21 Mei kita tidak menerima laporan kenaikan luar biasa walaupun setiap hari kita terima aduan melalui sistem aduan kementerian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Hari Raya 2019 di Kulim hari ini.

Beliau berkata, sekiranya ada aduan mengenai kenaikan mendadak harga sesuatu barang keperluan yang tersenarai di bawah SHMMP, pihaknya akan segera bertindak bagi menjaga kepentingan pengguna dan mengelakkan mereka ditindas.

Terdahulu pada majlis itu, 157 penerima terdiri daripada golongan asnaf termasuk daripada pesara tentera serta polis menerima sumbangan wang tunai, kerusi roda serta barangan makanan harian bagi membantu meringankan beban mereka.

Saifuddin Nasution, yang juga Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baru turut melancarkan Klinik Khidmat Guaman Parlimennya sebagai inisiatif membantu rakyat di kawasan itu dalam bidang perundangan.

“Setakat ini kita berjaya kumpulkan empat peguam yang akan memberi khidmat mereka satu kali sebulan secara percuma, yang berkaitan pelbagai isu termasuk syariah namun pada permulaan ia hanya melibatkan kes sivil,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments