Tragedi sup tulang Ramadan, bapa suruh buang periuk

TRAGEDI periuk tekanan tinggi meletup yang menimpa benar-benar memberi kesan mendalam kepada keluarga ini.

Rancangan untuk berbuka bersama keluarga berakhir dengan kisah menyayat hati apabila seorang ibu dan anaknya cedera akibat kejadian 15 minit sebelum berbuka puasa.

Kejadian hari pertama Ramadan itu menyebabkan Zuraidah Majid, 46, dan anaknya, Muhammad Afiq Azman, 23, dibawa ke Hospital Besar Melaka kerana melecur akibat terkena percikan kuah menu berbuka mereka.

Anak perempuan Zuraidah, Emma Azman, 27, mengakui sedih dengan kejadian yang menimpa ahli keluarganya.

“Sangat sedih sampai tak tahu nak cakap apa. Ramadan tahun ini memang sedih untuk kami sekeluarga. Adik lelaki meraung, menangis kesakitan.

“Bayangkan, lagi 15 minit je nak berbuka puasa. Saya masa tu bersama suami dalam perjalanan ke rumah ibu. Saya baru balik dari bazar, bawa kuih muih dan air tebu.

“Sampai-sampai je semua tengah kelam kabut. Ayah pun dah suruh buang periuk tu, dia cakap jangan sesiapa guna lagi selepas ini,” ujar Emma sewaktu dihubungi pada Selasa.

Zuraidah dan suaminya, Azman Kechil.

Dalam kejadian yang berlaku di kediaman keluarganya di Bukit Beruang, Melaka, Zuraidah mengalami luka terbakar tahap satu, manakala anak lelakinya pula mengalami kecederaan lebih teruk, luka terbakar tahap dua.

Malah, dua beranak itu juga terpaksa menjalani pembedahan skin grafting bagi menampal semula kulit yang cedera.

Menurut Emma yang bertugas sebagai pegawai pemasaran di negeri itu, dia terkilan kerana perancangan untuk berbuka puasa bersama-sama tergendala akibat kejadian itu.

Lebih memilukan, doktor juga tidak pasti jika adiknya boleh sembuh menjelang Aidilfitri pada awal Jun ini.

“Ibu tak dimasukkan ke hospital, cuma dia jalani pembedahan pada Ahad sahaja, tetapi adik masih ditahan di wad sampai sekarang.

“Doktor pun ada bagitahu, tak yakin adik boleh sembuh sebelum raya. Tak pasti boleh raya ke tidak,” katanya lagi.

Mengimbas kejadian itu, Emma berkata, ibunya memasak sup tulang sebagai sebahagian juadah utama untuk menjamu mereka sekeluarga pada hari pertama puasa itu.

“Dah lama ibu memasak, dari pukul 4 petang lagi. Tapi tak tahu kenapa periuk tekanan tu tak keluarkan wap.

“Masa tu dah pukul 7, ibu nak buka penutup periuk tu tapi ia masih ketat. Dia panggil adik minta tolong buka, terus meletup. Sup tu terpercik satu dapur,” kata Emma lagi.

Dalam pada itu, perkongsian Emma mengenai kejadian duka itu menerima perhatian ramai di Twitter.

Menerima hampir 5,000 ulang kicau (Retweet), sebilangan netizen turut meluahkan rasa simpati mereka terhadap ibu dan adik Emma serta mendoakan kesembuhan mereka berdua.

Sumber: mStar

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments