Angkara dadah: Farid Kamil dihukum penjara 9 bulan mulai hari ini

    MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya memerintahkan pelakon Datuk Farid Kamil Zahari dihukum penjara sembilan bulan dan berada di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

    Majistret Nor Arin Hisham membuat keputusan itu terhadap Farid, 38, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah kerana didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) pada Januari tahun lalu.

    Dalam prosiding itu, mahkamah juga tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

    Suami kepada pelakon Datin Diana Danielle akan dibawa ke Penjara Kajang dan diperintah menjalani hukuman penjara bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.

    Sebelum itu, peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid memohon mahkamah tidak mengenakan penjara dan hanya diperintah denda kerana tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.

    Ini kerana anak guamnya juga sudah mengaku bersalah atas satu pertuduhan iaitu memberi maklumat palsu yang melibatkan kes sama.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat dengan mengambil kira pihak pendakwaan telah memanggil seramai lima orang saksi semasa perbicaraan.

    “Mahkamah juga perlu menjatuhkan hukuman dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam selain mengambil kira kekerapan kes sedemikan berlaku. Jadi tidak perlu diskaun diberikan kepada tertuduh memandangkan tertuduh sebelum ini
    tidak membuat pengakuan bersalah,” katanya.

    Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan dadah berbahaya THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang pada 11 Januari 2018.

    Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments