Tun M mengaku pernah terima hadiah 26 kereta, kini hanya dapat makanan

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui beliau pernah menerima hadiah sebanyak 26 buah kereta sepanjang menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Kereta berkenaan bagaimanapun telah dipulangkannya dan orang ramai yang ingin melihat kereta-kereta tersebut boleh melihatnya di Langkawi.

“Tidak lagi dapat banyak hadiah, dahulu semasa saya jadi perdana menteri kali pertama, saya terima 26 buah kereta tetapi saya pulangkan dan ada antaranya saya letakkan di muzium (Galeri Perdana di) Langkawi.

“Kita boleh terima adalah makanan dan bunga. Sekarang ini makanan dan bunga banyak di rumah saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya sama ada semua kenderaan berkenaan dipulangkan kepada pihak yang memberi, Dr Mahathir berkata, beliau sememangnya banyak mendapat hadiah sebelum ini, sesuatu yang tidak lagi berlaku pada hari ini.

“Sekarang ini, mereka bagi hadiah makanan. “Mereka mahu hantar kepada saya satu tan dodol. Mereka hantar banyak sangat jadi saya terpaksa agihkan semula.

“Saya tidak tahu sama ada ini rasuah atau tidak,” katanya berseloroh.

Jelas beliau, sekarang beliau dan semua menteri Kabinet tidak lagi boleh menerima hadiah mewah apabila kerajaan mensyaratkan nilai hadiah tidak melebihi RM500, selain bunga dan buah-buahan.

Bagaimanapun katanya, ada pihak hendak memberinya hadiah sebanyak satu tan dodol namun menolaknya, selain dua kotak besar buah-buahan.

“Sekarang ini rumah saya penuh dengan makanan, dengan bunga tak payah report kepada Tan Sri Abu Kassim (Pengerusi Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed),” tambah beliau.

Pada 9 Jun lalu, Dr Mahthir mengumumkan kerajaan PH hanya menerima ‘hadiah’ berupa bunga, makanan serta buah-buahan menerusi pelaksanaan dasar pemberian hadiah dan derma.

Polisi tersebut terpakai kepada anggota pentadbiran awam dengan melibatkan menteri sehingga setiausaha politik, namun buat masa sekarang, dasar itu hanya menumpukan terhadap penjawat awam.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments