Teringin majlis kahwin mewah, keluarga tunai impian jejaka walau tanpa pengantin perempuan

SELEPAS melihat kemeriahan perkahwinan sepupunya, seorang jejaka sangat berkobar-kobar untuk turut mengadakan majlis persandingan mewah secara besar-besaran.

Sehubungan itu, keluarganya menunaikan impian Ajay Barot, 27, dengan mengadakan majlis gilang-gemilang yang dihadiri ramai tetamu.

Namun, tidak seperti orang lain, majlis itu diadakan tanpa pengantin perempuan kerana keluarganya tidak yakin Ajay dapat menemui pasangan hidup, lapor Indian Times.

Malah, mereka menganggap adalah sesuatu yang mustahil untuk Ajay mendapat wanita untuk dikahwini.

Walaupun tanpa pengantin perempuan, perkahwinan tersebut tetap mengikuti semua ritual dan tradisi Gujarati.

Sehari sebelum perkahwinan, upacara ‘mehendi’ dan ‘sangeet’ diadakan dengan dihadiri oleh teman rapat dan saudara-mara.

Hari berikutnya, Ajay memakai pakaian etnik. Sebuah majlis mewah diadakan setelah pengantin duduk di atas seekor kuda.

Sekitar 200 orang, yang merupakan sebahagian daripada perarakan, menari dengan lagu-lagu Gujarati.

Bapa Ajay, Vishnu Barot, ketika bercakap dengan ANI berkata: “Anak saya didiagnosis dengan masalah pembelajaran dan kehilangan ibunya sejak usia muda.

“Dia sering melihat majlis kahwin orang lain dan bertanya kepada kami tentang perkahwinannya. Kami tak dapat jawab soalannya dan tak dapat nak cari pasangan untuk dirinya.

“Selepas bercakap dengan semua ahli keluarga, saya memutuskan untuk mengatur perarakan dan majlis kahwin besar-besaran untuknya supaya dia merasakan majlis kahwin impiannya telah diadakan dan impiannya tercapai.

“Saya sangat gembira kerana dapat penuhi impian anak lelaki saya tanpa fikir apa kata masyarakat.”

Bapa saudara Ajay, Kamlesh Barot berkata anak saudaranya sangat menyukai muzik dan acara tari-menari akan membuatkan dia tersenyum.

“Dia tak pernah terlepas sebarang majlis perkahwinan di kampung kami. Setelah melihat perkahwinan anak saya pada Februari lalu, Ajay sering bertanya kepada kami tentang perkahwinannya.

“Apabila adik saya beri idea untuk penuhi permintaan anaknya, kami terus sokong dan memutuskan untuk mengadakan juga upacara varghodo (perarakan perkahwinan) seperti perkahwinan biasa, walaupun pengantin perempuan tiada.

“Kami hantar undangan perkahwinan kepada saudara-mara dan melakukan semua ritual mengikut tradisi Gujarati. Apa yang penting bagi kami adalah melihat Ajay gembira pada hari besarnya,” tambahnya.

“Abang saya bertuah kerana keluarga menyokong hasratnya dan kami gembira bagi pihaknya, kami sangat sayang dia,” kata adik perempuan Ajay.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments