Larang menteri kempen waktu pejabat, Tun M tidak puas hati peraturan SPR

Tun Dr Mahathir menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang anggota kabinet menjalankan aktiviti kempen ketika waktu bekerja pada pilihan raya.

Keputusan itu, katanya akan memberi kesan kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selain seolah-olah memberi kelebihan kepada pembangkang yang tidak mempunyai kerja, untuk berkempen selama 24 jam.

“Kita dapati bahawa ada arahan supaya pegawai kerajaan, menteri dan timbalan tidak boleh berkempen masa bekerja jadi mereka masa kerja mesti ada dalam pejabat dan tidak boleh kempen sedangkan lepas waktu kerja menteri kerja juga.

“Sekatan terhadap menteri seolah-olah memberikan peluang kepada parti lawan yang tidak kerja apapun dan mereka boleh berkempen 24 jam,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Perdana Putra hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata ketika PRK Cameron Highlands tahun lalu beliau juga tidak dibenarkan menggunakan kemudahan kerajaan walaupun menjadi perdana menteri.

“Ini saya rasa sekatan yang tidak bagus. Saya juga sebagai perdana menteri tidak boleh guna aset kerajaan dan segala kemudahan kerajaan semasa saya berkempen di Cameron Highlands.

“Saya kena sewa helikopter swasta untuk pergi ke tempat kempen dan kereta milik sendiri terpaksa dibawa untuk berkempen.

“Ini adalah sekatan yang luar biasa sebab biasanya jemaah menteri pun bekerja di luar waktu kerja,” katanya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun (gambar) sebelum ini berkata menjadi kesalahan dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 sekiranya mana-mana pemimpin didapati menggunakan aset kerajaan untuk turun berkempen.

Ia juga sejajar dengan desakan Bersih selama bertahun-tahun yang turut dipersetujui ramai pemimpin PH yang kini berada dalam kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir hari ini menafikan ekonomi negara sedang berada dalam keadaan teruk seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi menegaskan, dakwaan berkenaan sangat tidak berasas kerana prestasi ekonomi negara ketika ini sangat baik.

“Negara ini merupakan tempat pelaburan yang sesuai, tetapi pakar-pakar menyatakan di media bahawa Malaysia berada dalam keadaan buruk, seolah-olah seperti akan berperang atau apa-apa.

“Tetapi sebenarnya, prestasi kita amat baik, pelaburan sudah mula masuk, tetapi janganlah siarkan berita palsu, walaupun kita tidak tidak ada undang-undang itu di sini” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian mengulas laporan Bloomberg bahawa dana global tidak berminat melabur di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Menurut data yang dikumpulkan laporan itu, pelabur asing telah menjual saham Malaysia bernilai RM500 juta setakat 2019 ini.

Dr Mahathir turut meminta orang ramai untuk mendapatkan berita yang sahih mengenai keadaan ekonomi negara dan menyeru pihak media supaya melaporkan perkara yang benar.

“Media kena melaporkan perkara yang betul, jangan lapor berita palsu,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments