Isytihar harta ahli keluarga menteri perlu pinda Perlembagaan – Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan supaya pengisytiharan harta turut melibatkan ahli-ahli keluarga menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli Parlimen memerlukan pindaan Perlembagaan terlebih dahulu.

Ditanya sama ada kerajaan bersedia melaksanakan perkara itu, Perdana Menteri berkata, ia perlu dibawa kepada perhatian speaker Dewan Rakyat, bagi meminda perlembagaan sebelum dapat dilakukan.

“Semua menteri dan timbalan menteri, dan kita juga akan panjangkan kepada semua ahli Parlimen walaupun mereka dalam parti lawan,” katanya.

Kepimpinan Perdana Menteri sebelum ini berdepan kritikan kerana Pakatan Harapan sendiri dibarisi oleh pemimpin yang mempunyai kekayaan luar biasa,  malah diwariskan kepada anak dan ahli keluarga.

Keluarga Dr Mahathir Mahathir sendiri termasuk anak-anaknya mempuyai empayar perniagaan, didakwa hasil bantuan daripada tender-tender kerajaan sebelum ini.

Pelbagai pihak sebelum ini meminta supaya pengisytiharan harta oleh menteri kabinet juga perlu melibatkan ahli-ahli keluarga mereka.

Bagaimanapun, tindakan perlahan kerajaan PH dalam isu itu menimbulkan keraguan kerana proses pemindahan harta kepada pihak ketiga boleh dilakukan bagi ‘membersihkan’ prasangka buruk terhadap mana-mana ahli keluarga menteri kabinet.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, selain daripada cadangan mewajibkan pengisytiharan harta, kerajaan bersetuju membawa cadangan lain seperti melaksanakan pelan anti rasuah peringkat organisasi masing-masing, mengadakan mesyuarat pemantapan governans, integriti dan anti rasuah di peringkat kementerian.

Bukan itu sahaja, cadangan tersebut turut menyatakan untuk meningkatkan ketelusan perolehan awam dan pengurusan risiko rasuah dan mewujudkan pelaksanaan penerimaan hadiah.

Sementara itu katanya, sebagai komitmen dan akauntabiliti menteri, GIACC telah mengemukakan lima cadangan kepada JKKMAR bagi memasukkan skop Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dalam petunjuk prestasi utama (KPI) menteri.

Cadangan itu termasuk semua menteri harus memastikan anggota pentadbiran kementerian telah mengisytiharkan harta kepada SPRM, mewujudkan dan melaksanakan dasar menerima hadiah, melaksanakan pelan antirasuah peringkat organisasi masing-masing.

Cadangan lain termasuk mengadakan mesyuarat pemantapan governans, integriti dan antirasuah di peringkat kementerian dan meningkatkan ketelusan perolehan awam dan mengurangkan risiko rasuah.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments