Hindraf mahu polis beri perlindungan tambahan kepada Wytha Moorthy

Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu mahu kerajaan memberi perlindungan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berikutan wujud ancaman pengganas terhadap personaliti berprofil tinggi.

Penasihat Undang-Undang Hindraf, Karthig Shah berkata, pihaknya bimbang dengan penahanan pengganas yang mahu membunuh personaliti tertentu berkaitan dakwaan mereka mempersenda agama Islam.

Karthig bagaimanapun merakamkan ucapan tahniah kepada pihak polis terhadap penahanan empat lelaki dipercayai anggota kumpulan Daesh yang dikatakan mahu melancarkan serangan di negara ini.

Mengulas lanjut, Karthig berkata, penyokong Hindraf amat bimbang kerana sebelum ini terdapat serangan ke atas Waytha di pejabatnya pada 16 Ogos, 2017.

Ketika itu katanya, serangan berlaku sebelum beliau menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebelum Pilihan Raya Umum ke14.

Malah, katanya, Waytha sekali lagi menjadi sasaran semasa perhimpunan ICERD dan dijadikan kambing hitam semasa isu rusuhan kuil Seafield dan seterusnya kematian anggota bomba Muhammad Adib Kassim.

Semalam, KPN Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberitahu persidangan akhbar bahawa polis telah menahan empat orang disyaki menjalani aktiviti pengganas.
Keempat-empat mereka dipercayai adalah anggota Daesh, dikatakan merancang untuk melakukan serangan pengganas ke tempat-tempat sembahyang bukan Islam dan akan menuntut pembelaan di atas kematian Muhammad Adib semasa rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman tahun lepas.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments