SIS bantah operasi pakaian tidak sopan di bulan Ramadan

PERTUBUHAN hak wanita Islam, Sisters in Islam (SIS) hari ini membidas operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) yang memberi notis kepada berpuluh-puluh wanita kerana berpakaian seksi dan berkelakuan tidak sopan.

Dalam satu kenyataan hari ini, SIS menyifatkan operasi tersebut sebagai “suatu obsesi yang perlu dihentikan”.

SIS dalam satu kenyataan itu juga mahu Jaheik menghentikan operasi mengawasi dan memanggil wanita-wanita kerana pakaian mereka, serta membatalkan nama-nama mereka yang diberi notis hadir ke sesi kaunseling.

“Obsesi untuk mengawal pakaian wanita perlu dihentikan. Bukan sahaja ia memalukan dan merendahkan nilai wanita, dorongan kuat untuk mengawal pakaian wanita membayangkan wanita itu cacat dari segi mental, fizikal dan kerohanian dan bahaya kepada moral masyarakat,” katanya.

Media hari ini melaporkan 39 wanita di negeri tersebut diberi notis kerana berpakaian seksi dan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai di bulan Ramadan dalam suatu operasi yang dijalankan semalam.

Kesemua wanita berkenaan perlu menghadiri sesi kaunseling yang ditetapkan Jaheik, dan jabatan itu akan terus melaksanakan operasi seperti itu dari semasa ke semasa bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahi undang-undang syariah.

SIS menggesa Jaheik mengambil usaha memahami realiti seluruh masyarakat bawah bidang kuasanya, serta penyebab-penyebab sistemik penyakit masyarakat.

“Yang tidak berpunca daripada bagaimana wanita memilih untuk berpakaian,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments