‘Tiada siapa kalah, tiada siapa menang’ – Linda Rafar

    SETELAH tular kenyataan seorang doktor mendakwa Linda Rafar telah kalah dalam kes pertelingkahannya dengan jururawat, penyanyi tersebut tampil membuat penafian.

    Menurut penyanyi kumpulan Elite itu, tidak timbul soal dia kalah atau menang kerana kes itu tidak diteruskan selepas kedua-dua belah pihak setuju untuk menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah.

    Namun, Linda tidak menjelaskan sama ada benar pihaknya yang memulakan cadangan untuk penyelesaian luar mahkamah.

    “Sebenarnya, semalam (Rabu) perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam tidak diteruskan kerana kedua pihak sudah selesaikan cara baik.

    “Tiada siapa kalah atau menang sebab kes tidak disebut. Peguam saya Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli mencadangkan untuk menyelesaikan perkara ini secara baik selepas mengambil kira semua aspek.

    “Apatah lagi sekarang kita menyambut Ramadan dan kedua-dua pihak pun bersetuju. Saya anggap perkara ini sudah selesai selepas persetujuan di luah mahkamah dibuat,” katanya kepada portal mStar.

    Semalam, seorang doktor yang dikenali sebagai Dr Rusyainie Ramli dalam satu perkongsian di Facebook mendakwa pertikaian tersebut telah selesai dan kes tersebut memihak kepada jururawat berkenaan.

    KENYATAAN DON yang dimuatnaik di Facebook Dr Rusyainie

    Dr Rusyainie juga mendakwa, pihaknya dimaklumkan bahawa Linda diarah supaya membayar ganti rugi dan memohon maaf kepada jururawat tersebut.

    Bagaimanapun menurut Dr Rusyainie, dia menganggap Linda masih mempunyai ego setinggi langit apabila membuat permohonan maaf tanpa menyebut spesifik pada jururawat yang difitnah.

    “Malangnya bila saya baca permohonan maaf di IG milik selebriti tu, interpretasi saya? Dia masih punya ego melangit. Langsung tak sebut pun spesifik pada jururawat yang difitnahnya!

    “Perkataan jururawat pun tak ada. Dah bersalah pun masih tak mengaku. Tu macam minta maaf nak sambut hari raya. Saya pasti tu bukan permohonan maaf yang dipersetujui oleh pihak plaintif,” ujar Dr Rusyainie.

    Mengulas lanjut, Linda bagaimanapun menjelaskan, tiada ganti rugi yang perlu dibayar kepada pihak badan bukan kerajaan (NGO) Delegation of Nurses (DON) seperti yang didakwa Dr Rusyainie.

    “Saya tak perlu bayar ganti rugi apa-apa pun kepada pihak tersebut. Sebab semuanya sudah selesai secara baik kerana pihak terlibat dalam kes ini tidak melibatkan DON,” ujarnya.

    Bagaimanapun, Linda memberitahu, dia sudah membuat permohonan maaf secara spesifik di instastorynya kepada pemegang akaun instagram iaitu jururawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

    Individu itu sebelum ini dikatakan telah memfailkan saman terhadap penyanyi itu ekoran tindakan Linda yang tersalah pandang dan menyangka mengugut dirinya sebelum memuat naik di IG.

    Sebelum ini, Linda melahirkan rasa kecewa terhadap sekumpulan jururawat di sebuah hospital di Shah Alam yang didakwa memberi layanan buruk apabila permintaannya untuk menukar cadar katil ibunya tidak diendahkan pada Disember tahun lalu.

    Susulan insiden itu, pihak Delegation of Nurses (DON) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap selebriti wanita berkenaan.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments