Spurs lakar kebangkitan sensasi, tumbangkan Ajax untuk mara ke final

SUDAH sah, piala Liga Juara-Juara akan menjadi milik pasukan Inggeris tahun ini selepas Tottenham Hotspurs turut layak ke pentas final apabila mempamerkan kebangkitan sensasi menumbangkan Ajax dalam perlawanan separuh akhir kedua awal pagi tadi.

Sehari selepas Liverpool melakar kebangkitan hebat menewaskan gergasi Sepanyol, Barcelona semalam, hari ini giliran Tottenham mempamer aksi menakjubkan apabila bangkit daripada ketinggalan 0-3 secara agregat sebelum menyingkirkan Ajax di Amsterdam.

Hatrik Lucas Moura, termasuk gol dramatik pada waktu kecederaan melengkapkan kebangkitan sensasi Spurs dan membawa mereka mara ke final kejohanan kelab elit Eropah itu buat kali pertama.

Selepas tewas 0-1 pada separuh pertama di laman sendiri minggu lalu, Tottenham berada di ambang penyingkiran apabila ketinggalan 0-2 di Amsterdam (0-3 secara agregat) hanya 35 minit selepas permainan berlangsung.

Begitupun, tiga gol yang disempurnakan Moura pada babak kedua, termasuk dua jaringan pantas dalam tempoh seminit memastikan kelab London itu menang 3-2, sekali gus layak ke final menerusi peraturan gol tempat lawan selepas saingan terikat secara agregat 3-3.

Kemenangan itu menemukan Spurs dengan musuh senegara, Liverpool yang terdahulu melakar kebangkitan luar biasa membelasah Barcelona 4-0 dalam satu lagi separuh akhir, semalam.

Ini kali pertama dua kelab England menguasai pentas akhir Liga Juara-Juara sejak Manchester United bertemu Chelsea pada 2008.

Bagaimanapun anak-anak buah Mauricio Pochettino terpaksa mengharungi detik amat mencemaskan apabila Matthijs de Ligt meledak gol pembukaan Ajax seawal minit kelima sebelum Hakim Ziyech menggandakan kedudukan 30 minit berselang.

Semangat juang tinggi yang dipamerkan Spurs membolehkan mereka mengejar tuan rumah, bermula dengan gol jarak dekat Moura pada minit ke-55, diikuti jaringan keduanya, seminit kemudian.

Enam minit memasuki waktu kecederaan, Moura memastikan Spurs memahat sejarah Eropah apabila melengkapkan hatrik menerusi rembatan kaki kiri. – AGENSI

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments