Siapa Exco PH kritik Tun M, dedah MB Perak akan dijatuhkan?

Rakyat negeri Perak dikejutkan dengan penyebaran rakaman audio mengandungi suara dipercayai seorang Exco Kerajaan Negeri Perak yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendedahkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bakal dijatuhkan.

Rakaman berdurasi empat minit 22 saat itu disebarkan melalui aplikasi Whatsapp dan turut dimuatnaik serta dikongsi di laman Facebook.

Ia mengandungi rakaman perbualan exco berkenaan dengan beberapa orang yang tidak dapat dikenal pasti.

Dalam rakaman tersebut, exco berkenaan bukan sahaja mengkritik dua pemimpin parti Bersatu itu, malah mendedahkan berlaku gerakan rahsia dalam Pakatan Harapan (PH) Perak untuk menggulingkan kepimpinan Menteri Besar.

Exco itu mendakwa dia adalah calon untuk menggantikan Ahmad Faizal dan perkara itu mendapat restu pihak istana Perak selain sedang menunggu ‘lampu hijau’ dari Dr Mahathir.

“Istana saya tidak ada masalah, yang penting lampu hijau dari Tun (Mahathir) sahaja,” kata exco berkenaan dalam rakaman itu.

Ditanya sama ada benar dakwaannya bahawa pihak istana mengetahui mengenai gerakan tersebut, exco itu menambah, hubungannya dengan Sultan Perak adalah baik.

Tambahnya: “Tuanku (Sultan Perak) beberapa kali tanya khabar kat saya..no problem. Selepas jumpa saya secara peribadi. Dia kata taklah samseng mana pun kan.”

Exco itu turut mendedahkan usaha menukar Ahmad Faizal turut dipersetujui majoriti kepimpinan Bersatu di Perak.

“Dia orang (Ketua-ketua bahagian Bersatu di Perak) dah buat ketetapan. Mereka tak nak Peja (Ahmad Faizal)..nak Peja dijatuhkan dan (diganti) MB baru,” dakwanya.

Dalam rakaman tersebut, exco berkenaan mendakwa gerakan menukar Ahmaf Faizal turut dipersetujui pimpinan PH Perak termasuk barisan exco kerajaan negeri.

“Dia orang (exco) ni baru kali je (merasa kuasa), maksudnya baru (merasa) dapat peruntukan, office sudah berbayar.

“18 ekor (DAP) ni, enam ekor (PKR) ni, empat ekor (PAN) tu, baru kali ini merasa (selepas) 60 tahun berjuang. Saya tidak fikirlah (mereka tak setuju). Ikut je apa leadership,” dakwanya lagi.

Dalam pada itu, exco berkenaan turut mendedahkan betapa hubungan sesama pemimpin dalam PH harapan tidak harmoni apabila beberapa perkara penting dalam aspek pentadbiran tidak dibincangkan secara kolektif.

Ditanya bagaimana perkara itu boleh berlaku, exco berkenaan menjawab: “Peja kerap takde. Malah Asmuni pun..kerap takde.”

Turut mengejutkan apabila exco tersebut mendedahkan bahawa dalam perkara-perkara melibatkan hal ehwal tanah, ia tidak dibawa ke dalam mesyuarat exco untuk dibincangkan.

Antara yang disebut ialah rancangan menukar hak milik tanah tapak kediaman rasmi menteri besar Perak yang didakwanya dilakukan tanpa persetujuan exco.

“Maknanya kalau benda ini (tanah) ini dibawa ke meeting exco, kita nak kata apa? MB adalah government, keputusan akhir ialah government,” ujarnya.

Exco itu menambah, masalah berkenaan bukan sahaja berlaku di Perak, malah dia mengakui perkara itu turut menjadi isu di peringkat persekutuan.

“Malah Kabinet (Persekutuan) pun problem. Its true!Dua tiga isu yang saya tengok.

“Alahhh…Mahathir pun tak reti nak buat, dia nak blame sini pulak,” dakwanya.

Suara Aziz Bari tu..????

Posted by Iza Karim on Rabu, 17 April 2019

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments