Nama KLIA akan ditukar kepada SIA?

Cadangan untuk menukar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada nama baru Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA) telah dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Selangor.

Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, perkara itu dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan yang diadakan Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Sze Han yang dipetik portal Malaysiakini memberitahu, belum ada keputusan muktamad dibuat mengenainya setakat ini.

“Isu ini cuma pernah disebutkan dalam MMKN (Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri), setakat ini tiada apa-apa yang telah diputuskan.

“Perkara ini timbul kerana KLIA terletak di Sepang, Selangor. Lapangan terbang antarabanga yang terkenal sering menggunakan lokaliti sebagai namanya, contohnya adalah Narita/ Haneda di Tokyo, Incheon di Seoul, Suvarnabhuni di Bangkok, Baiyun di Guangzhou, Pudong di Shanghai, Schipol di Amsterdam dan sebagainya,” katanya.

Ditanya sama ada perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat, Sze Han walau bagaimanapun tidak mahu mengulas lebih lanjut.

Dalam surat itu, penjenamaan semula KLIA dibangkitkan oleh exco Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Teng Chang Kim dicadangkan untuk mencerminkan lokaliti KLIA yang terletak di daerah Sepang.

“Keperluan ini adalah seiring dengan nama lapangan terbang antarabangsa di luar negara yang menggunakan lokaliti sebagai nama rasmi lapangan terbang tersebut.

“Sehubungan itu, cadangan nama yang dipersetujui oleh exco adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA),” kata surat itu lagi.

Menurut surat itu, Ng akan membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara. Kesahihan surat tersebut bagaimanpun belum dapat dipastikan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments