‘Kalau tak pakai tudung, adakah jadi perempuan jalang?’ – Latheefa

Anggota Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya menegaskan bahawa pandangan setiap wanita perlu memakai tudung tidak wajar dilihat sebagai satu paksaan.

Latheefa yang juga seorang peguam memberitahu, ini kerana tiada paksaan dalam Islam berkaitan tuntutan berkenaan.

“Saya langsung tidak setuju orang dipaksa pakai tudung. Itu bukan cara Islam. Tiada paksaan dalam Islam. Mana pergi prinsip ini.

“Hanya semata-mata seorang tak pakai tudung – adakah dia akan masuk neraka? Adakah dia jadi murtad? adakah dia jadi seorang perempuan yang jalang?

Come on lah, itu adalah satu pemikiran ekstremis,” kata Latheefa di Facebooknya, hari ini.

Latheefa merujuk forum membincangkan isu perempuan Melayu yang tidak lagi bertudung, susulan pelancaran buku aktivis Maryam Lee Abdullah bertajuk Unveiling Choice di  Petaling Jaya.

Susulan daripada itu, Menteri Agama Mujahid Yusuf Rawa mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menyiasat forum berkenaan.

Mengulas lanjut berkaitan forum itu, Latheefa berpendapat seseorang yang mengikut atau menghadiri forum seperti itu akan terus luntur imannya untuk membuka tudung.

“Biar seseorang wanita itu bebas memikir dan memilih sama dia mahu berhijab atau tidak.

“Janganlah mencerminkan orang Islam itu terlalu rapuh dan obses kepada bentuk badan, dan rambut, dan seks,” katanya.

Latheefa yang juga adalah pengarah eksekutif kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) juga tidak bersetuju jika pengajaran Islam hanya berasaskan pemakaian seseorang.

“Bukan sekadar tudung sahaja. Biarlah orang nak bincang kenapa dia buka tudung atau pakai tudung,” katanya.

Peguam yang lantang bersuara berkaitan hak asasi itu juga berkongsi cerita bagaimana beliau memilih untuk memakai tudung ketika di tingkatan enam.

Menurutnya, beliau memilih jalan itu bukan kerana ingin tunjuk ‘alim’ sebaliknya sebagai satu tanda protes kepada penganiayaan terhadap mereka yang menutup aurat di timur tengah.

“Sebab ketika itu saya terbaca orang yang pakai tudung di negara lain seperti di Turki, Mesir dianiaya dan tidak dibenarkan, saya rasa marah,” katanya.

Beliau turut mengakui agak sukar istiqamah dalam memakai tudung namun kini ia sudah menjadi sebahagian daripada tindakan semulajadi.

“Tetapi akhirnya setelah beberapa tahun lalu, saya rasa selesa pakai tudung, telah jadi second nature, tak pikir pun apa ada atas kepala saya tu. Selalu kena tegur oleh kawan-kawan sebab tudung saya senget,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments