Enggan tarik balik laporan dirogol, remaja maut dibakar hidup-hidup

GAMBAR kiri, Nusrat ketika menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah seluruh badan

Kerana mempertahankan maruahnya, seorang remaja berusia 18 tahun mati akibat dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan penyerang kerana enggan berkeras enggan menarik balik laporan dirogol pengetua sekolahnya di Dhaka, Bangladesh.

Remaja itu dikenali sebagai Nusrat Jahan Rafi, 18, meninggal dunia 10 April lalu, lima hari selepas dimasukkan ke hospital dalam keadaan 80 peratus tubuhnya melecur.

Memetik laporan Dhaka Tribune, siasatan polis mendapati mangsa disimbah minyak sebelum dibakar di atas bumbung sekolahnya di Sonagazi oleh sekumpulan penyerang pada 6 April lalu.

Mangsa dipercayai enggan menarik balik dakwaan cubaan merogol terhadap pengetua sekolah dikenali sebagai Sirajuddaula.

Sirajuddaula (kiri) ditahan selepas Nisrat mendakwa lelaki itu cuba merogolnya dalam pejabatnya.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan rakyat Bangladesh yang melakukan protes secara besar-besaran di seluruh negara, malah Perdana Menteri Sheikh Hasina mengarahkan Pusat Perubatan Kolej Perubatan Dhaka (DMCH) menerbangkan mangsa ke Singapura untuk rawatan.

Namun, doktor di Hospital Besar Singapura dan DMCH mendapati keadaan mangsa yang kritikal menyebabkan dia tidak boleh dipindahkan.

Menurut abang mangsa, adiknya yang sempat menceritakan kejadian ketika terlantar di hospital, memberitahu dia dipujuk empat individu untuk naik ke bumbung sekolah, kononnya seorang rakan mereka diserang.

“Mereka kemudian mendesak adik saya menarik dakwaan terhadap pengetua. Apabila dia enggan, seorang daripada mereka mencurah petrol pada badannya dan menyalakan api.

“Nusrat berlari turun dalam keadaan api membakar pakaian dan tubuhnya untuk mendapatkan bantuan. Pelajar lain yang melihatnya terus memadam api,” katanya kepada The Daily Star.

Daily Mail melaporkan, Sirajuddaula ditahan dan dipenjara sejak akhir bulan lalu, selepas remaja berkenaan mendakwa lelaki itu cuba merogolnya dalam pejabatnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments