Pesawat terbesar dunia akhirnya terbang

Pesawat terbesar di dunia, Stratolaunch yang mempunyai dua fiuslaj dan enam enjin Boeing 747 melakukan ujian penerbangan pertamanya semalam di California, Amerika Syarikat.

Ujian penerbangan sulung pesawat itu dijalankan di Gurun Mojave.

Pesawat itu direka khas untuk terbang pada ketinggian 35 ribu kaki dan apabila mencapai ketinggian tersebut, Stratolaunch akan melepaskan roket yang dibawanya.

Difahamkan, Strarolaunch adalah alternatif yang lebih fleksibel untuk melancarkan satelit berbanding pelepasan menegak roket kerana cara ini hanya memerlukan landasan yang lebih panjang untuk berlepas.

Ia dibina oleh syarikat kejuruteraan Scaled Composites.

Saiz pesawat berkenaan begitu besar, sayapnya berukuran lebih panjang berbanding padang bola sepak, atau 1.5 kali ganda lebih panjang berbanding pesawat Airbus A380.

Sayapnya berukuran 117 meter, manakala sayap pesawat Airbus A380 hanya berukuran di bawah 80 meter.

Pesawat berkenaan terbang kira-kira dua setengah jam. Sehingga kini, ia hanya menjalankan ujian lapangan.

Kelajuannya mencapai 304 kilometer sejam dan mencecah altitud 17,000 kaki, atau 5,182 meter.

“Ia penerbangan sulung yang menakjubkan,” kata CEO Stratolaunch, Jean Floyd.

“Penerbangan hari ini (semalam) melebarkan lagi misi kami untuk menyediakan alternatif fleksibel kepada sistem pelancaran darat,” tambahnya.

Stratolunch dibiayai oleh Paul Allen, pengasas bersama Microsoft sebagai cara untuk memasuki pasaran bagi melancarkan satelit kecil.

Namun Allen meninggal dunia pada Oktober tahun lalu dan masa depan syarikat berkenaan masih samar. – AFP

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments