Langsung: Tok Mat menang, undi PH merosot

305

8.45pm: SPR secara rasmi mengumumkan calon BN Mohamad Hasan menang dalam PRK Rantau.

Para penyokongnya bersorak apabila pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan Mohamad mendapat 10,379 undi, dan membuat sorakan ‘boo’ apabila beliau mengumumkan calon PH Dr S Streram menerima 5,887 undi.

Sementara itu, calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin masing-masing menerima 83 dan 79 undi.

Mohd Nor dan Streram tiada di pusat penjumlahan undi ketika pengumuman dibuat.

PRK Rantau mencatatkan 79.3 peratus keluar mengundi. Undi rosak pula sebanyak 146.


7.54:
Suasana kemenangan menggamatkan pusat operasi BN di Rantau.

Terdahulu, keputusan tak rasmi yang memihak kepada BN disambut kesyukuran anggota parti BN dan PAS di pusat berkenaan.

Kedengaran sorakan dengan kemenangan buat Mohamad Hasan.

Pemangku presiden UMNO itu dilihat mengangkat dan menggenggam tangannya ke arah hadirin.

Para penyokong bersorak “terima kasih, terima kasih, Tok Mat menang”.


7.19pm: 
Berdasarkan maklumat yang kami terima, calon BN sudah mempunyai jumlah undi mencukupi untuk memenangi pilihan raya kecil DUN Rantau.

Berdasarkan sumber SPR, sekurang-kurangnya 79 peratus pengundi daripada 20,926 pengundi DUN Rantau keluar mengundi.

Justeru, calon yang menang hanya memerlukan sekurang-kurangnya 8,266 undi.

Calon BN, Mohamad Hasan ketika ini sudah mendapat 8,442 undi berbanding pencabar terdekat iaitu calon PH yang memperoleh 4,642 undi.

Sementara itu, calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin masing-masing mendapat 66 dan 67 undi.

Dalam pada itu, portal Malaysiakini melaporkan, BN berjaya merampas pusat daerah mengundi (PDM) Pekan Sagga daripada PH – kawasan paling ramai pengundi India bagi DUN Rantau.

Pekan Sagga memiliki  kira-kira 63.7 peratus pengundi kaum India diikuti pengundi Melayu sebanyak 19.5 peratus dan pengundi Cina 16.8 peratus.

BN mendapat 56.57 undi di Pekan Sagga manakala PH 42.7 peratus.

Pada PRU lalu untuk Parlimen Rembau, PH menang 51.98 peratus undi manakala BN hanya mendapat 44.23 peratus undi. PAS pula 3.78 peratus.

 

7.07pm: BN melebarkan jurang dengan PH dengan perbezaan hampir 4,000 undi.

Dengan kira-kira satu pertiga undi sudah dikira, BN kini mengumpul 4,642 undi manakala PH 2,183 undi.

Sementara itu, calon bebas R Malar mendapat 67 undi dan Mohd Nor Yasin 66 undi.

Proses kiraan kini sedang berjalan untuk menentukan pemenang pertembungan empat penjuru itu.

Calon yang bertanding ialah Mohamad Hasan (BN), Dr S Streram (Pakatan Harapan) dan dua calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin.

DUN Rantau mempunyai 29,926 pengundi berdaftar.

PRK ini diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad pada PRU lalu tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Streram – juga dicalonkan PH untuk PRU ke-14 – dihalang daripada menghantar borang pencalonan ketika hari penamaan calon pada 28 April 2018.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments