Kuok kekal paling kaya di Malaysia

ROBERT KUOK

Hartawan Malaysia, Robert Kuok kekal sebagai orang paling kaya di negara ini dengan nilai bersih US$12.8 bilion atau kira-kira RM52.7 bilion.

Senarai Orang Paling Kaya Forbes yang dikeluarkan hari ini menyaksikan Kuok terus berada di tangga teratas walaupun kekayaannya merosot sebanyak US$2 bilion atau RM8 bilion.

Menurut senarai tersebut, 11 hartawan Malaysia menikmati peningkatan kekayaan manakala 30 lagi mengalami penyusutan.

Di tangga kedua ialah Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong (Malaysia) yang menambah kekayaan sebanyak US$ 2.2 bilion menjadikan nilai bersih mencecah US$9.4 bilion.

Tan Sri Teh Hong Piow Public Bank pula memperoleh US$700 juta, meningkat satu anak tangga ke nombir tiga dengan nilai bersih US$6.7 bilion.

Lima hartawan teratas dalam senarai itu ialah Tan Sri Ananda Krishnan (foto, bawah) di tempat keempat dengan US $6.2 bilion, susut US$900 juta apabila saham dalam penyedia perkhidmatan tenaga Bumi Armada susut 78 peratus tahun ini hingga 1 Mac.

Saham syarikat berkaitan infrastrukturnya menyusut susulan kajian berterusan ke atas projek-projek infrastruktur mega Malaysia.

Seorang lagi hartawan yang mengalami kemerosotan ialah Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay, yang berada di nombor tujuh dengan kekayaan bernilai US$4.4 bilion.

Beliau jatuh satu tempat daripada nombor enam tahun lepas apabila kekayaannya susut sebanyak US$300 juta.

Pendatang baharu Abdul Kadier Sahib memasuki senarai itu buat kali pertama di tempat ke-49 dengan nilai bersih US$275 juta.

Beliau ialah Pengarah Serba Dinamik Holdings, syarikat pembekal minyak dan gas yang dilancarkan pada 2017 dan menyaksikan sahamnya melambung.

Pengasas syarikat, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, yang berada di tempat 40, dengan nilai US$ 345 juta, memulakan perniagaannya setahun lalu dan menyaksikan kenaikan bersihnya sebanyak 11 peratus tahun ini.

Menurut Forbes Asia, terdapat dua hartawan menyertai semula senarai tahun ini.

Tan Sri Kua Sian Kooi dari KSK Group menduduki tempat ke-35 dengan nilai bersih US$420 juta manakala Datuk Loh Kian Chong dari Oriental Holdings kembali dalam senarai di tempat ke-45 dengan nilai bersih US$320 juta.

Nilai bersih minimum untuk dimasukkan dalam senarai tahun ini ialah US$250 juta, turun daripada US$ 300 juta tahun lepas.

Senarai ini disusun menggunakan maklumat dari individu, bursa saham, penganalisis, pangkalan data peribadi, agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan sumber lain.

Jumlah nilai bersih adalah berdasarkan kepada harga saham dan kadar pertukaran pada penutupan pasaran pada 28 Feb.
Syarikat persendirian dinilai menggunakan nisbah kewangan dan perbandingan lain dengan syarikat-syarikat yang sama dengan dagangan awam.

Anggaran termasuk kekayaan pasangan, dan jika mereka merupakan pengasas syarikat, ia turut mengambil kira kekayaan anak hsil dari syarikat itu.

Dalam kes kekayaan anggota keluarga adalah berdasarkan kepada syarikat yang sama, ahli-ahli ini digabungkan menjadi satu penyenaraian, selagi masing-masing mempunyai kekayaan yang mencukupi untuk memenuhi syarat.

Senarai penuh boleh didapati dalam terbitan terkini Forbes Asia, yang sudah berada di pasaran.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments