Wednesday, December 19, 2018
Home NASIONAL Rakyat tidak pilih PH untuk hapus keistimewaan Bumiputera

Rakyat tidak pilih PH untuk hapus keistimewaan Bumiputera

161

DAP diingatkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu bukan bermakna rakyat bersetuju dengan ideologi kesamarataan yang diperjuangkan wakil rakyat parti itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa mengubah citra dan karakter Malaysia adalah cita-cita serta aspirasi politik yang sangat berbahaya dalam sebuah negara berbilang kaum.

“Kemenangan dalam pilihan raya lepas adalah mandat untuk menukar kerajaan berdasarkan tawaran terkandung dalam manifesto PH dan penghapusan keistimewaan Bumiputera bukan salah satu daripadanya.

“Hanya kerana kerajaan bertukar tangan, jangan sesekali DAP beranggapan bahawa ini adalah persetujuan rakyat Malaysia untuk memperkenalkan dasar kesamarataan mengikut kefahaman DAP, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dua wakil rakyat DAP baru-baru ini iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui dan Tanah Rata, Chiong Yoke Kong yang meminta parti itu menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurut Mohamad, pendirian dua ADUN itu membuktikan bahawa DAP tidak pernah meninggalkan misi untuk menjayakan ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan tetap konsisten untuk mengubah karakter negara ini.

“Pendirian mereka menunjukkan pemikiran politik yang sangat tidak sensitif terhadap sifat sebenar Malaysia dan kemajmukannya. Ia adalah seruan yang tidak disokong oleh satu pertimbangan komprehensif, mendalam dan objektif.

“Malah, ia boleh dianggap sebagai usaha radikal yang mahu menyentuh dan mempersoal perkara-perkara asas yang menjadi pasak pembentukan amalan bernegara di Malaysia,” ujarnya.

Mohamad meminta sebarang cubaan meratifikasikan ICERD dihentikan dan kerajaan perlu menunjukkan ketegasan dengan membuat kenyataan muktamad dalam isu ini supaya ia tidak dijadikan polemik politik yang merugikan semua pihak.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments